Perutusan tahniah kepada Indonesia

Perutusan tahniah kepada Indonesia

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Joko Widodo serta kerajaan dan rakyat Republik Indonesia sempena Hari Kemerdekaan ke-70 tahun negara itu.

Di dalam perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan jalinan silaturahim dan kerjasama yang telah sekian lama terjalin di antara Negara Brunei dan Republik Indonesia, yang mana Baginda yakin akan dapat terus bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama dalam memperkukuhkan lagi tali persahabatan yang sangat erat dan mesra ini pada tahun-tahun akan datang.

Baginda mengakhiri perutusan tersebut dengan berdoa semoga Allah SWT akan sentiasa mengurniakan kepada Tuan Yang Terutama dan Datin Ibu Hajah Iriana serta keluarga kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan serta rakyat Republik Indonesia akan menikmati kemakmuran dan keamanan yang berterusan.

Sementara itu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan turut berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Retno Marsudi serta kerajaan dan rakyat Republik Indonesia sempena Hari Kemerdekaan ke-70 tahun.

Dalam perutusan itu, Duli Yang Teramat Mulia melahirkan perasaan gembira kerana dapat bertemu dengan Tuan Yang Terutama di Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini dan mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama ke Brunei awal tahun ini ketika lawatan Presiden Joko Widodo.

Duli Yang Teramat Mulia turut menyatakan perasaan tidak sabar-sabar untuk terus bekerjasama mengukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama yang berpanjangan dan berharga sebagai rakan dan jiran. Dalam mengakhiri perutusan itu, Duli Yang Teramat Mulia mengucapkan salam muhibah dan selamat menyambut perayaan yang menggembirakan kepada Tuan Yang Terutama dan semua rakyat Indonesia di mana sahaja.