Perutusan tahniah kepada Kanada

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Gabenor Jeneral Kanada, David Johnston dan Perdana Menteri Kanada, Justin P.J. Trudeau serta kerajaan dan rakyat Kanada bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Persekutuan ke-15 negara tersebut.

Dalam titah perutusan kepada Gabenor Jeneral Kanada, Baginda merakamkan penghargaan terhadap persahabatan yang akrab dan kerjasama yang sekian lama dinikmati antara kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing. Baginda berharap akan berpeluang meningkatkan lagi hubungan yang sangat bernilai ini di tahun-tahun mendatang.

Sementara dalam titah perutusan kepada Perdana Menteri P.J. Trudeau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan bahawa Negara Brunei Darussalam dan Kanada serta rakyat masing-masing telah sekian lama menikmati persahabatan dan kerjasama yang mesra dan erat, serta berharap akan dapat meneruskan kerja dengan beliau dalam banyak bidang yang penting di peringkat dua hala mahupun sebagai rakan kongsi antarabangsa.

Pada mengakhiri titah-titah perutusan tersebut, Baginda menyampaikan ucapan muhibah dan berharap kedua-dua pemimpin Kanada itu sentiasa berada dalam keadaan sihat dan kebahagiaan dan bagi rakyat Kanada sentiasa memperolehi kejayaan dan kesejahteraan yang berpanjangan.