Perutusan tahniah kepada Korea, Jerman

Perutusan tahniah kepada Korea, Jerman

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Presiden Republik Korea, Puan Yang Terutama Park Geun-hye, kerajaan dan rakyat negara itu bersempena Hari Kebangsaan Pengasasan Republik Korea.

Dalam perutusan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat menghargai persahabatan dan kerjasama bernilai yang wujud di antara kedua-dua buah negara sejak sekian lama dalam beberapa bidang yang penting dan seterusnya melahirkan harapan akan dapat bekerja dengan Puan Yang Terutama ke arah mengukuhkan hubungan dua hala dan serantau yang penting ini pada tahun-tahun akan datang.

Pada mengakhiri perutusan itu, Baginda seterusnya menyampaikan salam muhibah bagi kesejahteraan dan kebahagiaan Puan Yang Terutama.

Secara berasingan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Presiden Republik Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Joachim Gauck dan Canselor Republik Persekutuan Jerman, Puan Yang Terutama Angela Merkel, kerajaan serta rakyat negara itu bersempena 25 Tahun Penggabungan Jerman.

Dalam perutusan kepada TYT Joachim Gauck, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan atas hubungan mesra lagi erat yang dinikmati kedua-dua buah negara dan melahirkan harapan untuk terus bekerja dengan Tuan Yang Terutama dalam mengukuhkan hubungan tersebut sama ada pada peringkat dua hala mahupun sebagai rakan kongsi antarabangsa.

Sementara itu, dalam perutusan kepada Puan Yang Terutama Angela Markel, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyanjung tinggi hubungan erat dan persahabatan mesra yang dinikmati kedua-dua buah negara dan melahirkan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan yang bernilai itu serta meneroka peluang kerjasama di antara kerajaan dan rakyat pada masa akan datang.

Baginda mengakhiri perutusan dengan menyampaikan salam muhibah kepada kedua-dua Tuan Yang Terutama dan Puan Yang Terutama.

Dalam pada itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan turut menghantar perutusan tahniah kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, kerajaan dan rakyat Republik Korea dan Persekutuan Jerman, masing-masing bagi Hari Pengasasan Kebangsaan Republik Korea dan Hari Penggabungan Jerman.

Dalam perutusan kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Korea, Tuan Yang Terutama Yun Byung-Se, Duli Yang Teramat Mulia melahirkan perasaan gembira bertemu dengan Tuan Yang Terutama semasa Mesyuarat ASEAN di Kuala Lumpur Ogos lalu dan menghargai sumbangan yang diberikan dalam mengukuhkan hubungan bernilai yang dikongsi oleh kedua-dua buah negara dalam tempoh 30 tahun kebelakangan.

Manakala itu, dalam perutusan kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Frank-Walter Steinmeier, Duli Yang Teramat Mulia sangat menghargai hubungan persahabatan dan kerjasama yang berpanjangan dan berharga di antara kedua-dua negara serta melahirkan penghargaan atas kepimpinan Jerman yang ditunjukkan dalam kebanyakan perkara-perkara kebimbangan serantau dan antarabangsa yang penting dan mendesak dalam bulan-bulan kebelakangan ini.

Duli Yang Teramat Mulia mengakhiri kedua-dua perutusan dengan menyampaikan salam muhibah kepada TYT Yun Byung-Se dan TYT Frank-Walter Steinmeier serta semoga mempunyai sambutan yang menggembirakan.

ARTIKEL YANG SAMA