Perutusan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura

Perutusan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, berikutan pelantikannya semula sebagai Perdana Menteri Singapura baru-baru ini.

Dalam perutusan tersebut, Baginda percaya di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama, Singapura akan terus menikmati kemajuan dan kestabilan yang selama ini menjadi tanda kerajaan Tuan Yang Terutama.

Baginda seterusnya sangat menghargai komitmen peribadi Tuan Yang Terutama dalam mengukuhkan persahabatan yang mesra lagi rapat yang telah dinikmati sekian lama oleh kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing. Baginda berharap akan dapat memperbaharui peluang untuk terus mengukuhkan lagi persahabatan yang sungguh bernilai dan unik ini pada masa-masa akan datang. Baginda mengakhiri perutusan ini dengan ucapan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong dan Puan Ho Ching serta keluarga bagi kebahagiaan dan kesihatan yang berterusan.

ARTIKEL YANG SAMA