Perutusan tahniah kepada PM Australia dan Presiden Perancis

Perutusan tahniah kepada PM Australia dan Presiden Perancis

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull berikutan dengan kemenangan Parti Liberal dalam pilihan raya persekutuan Australia baru-baru ini.

Dalam titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu, Baginda yakin kemenangan tersebut memperlihatkan kepercayaan dan keyakinan berterusan rakyat Australia dalam kepimpinan beliau dan juga terhadap komitmen kerajaan dalam memastikan keamanan dan kestabilan yang berterusan di rantau ini.

Negara Brunei Darussalam dan Australia menikmati hubungan mesra dan akrab dan berharap berpeluang untuk mengukuhkan lagi hubungan yang sedia ada itu baik secara dua hala mahu pun serantau melalui ASEAN dan Trans Pacific Partnership (TPP).

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut Baginda menyampaikan salam muhibah kepada Perdana Menteri Malcolm Turnbull dan keluarga semoga beliau berada dalam keadaan sihat dan kegembiraan. Sementara itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Perancis Francois Hollande serta kerajaan dan rakyat Perancis bersempena dengan Bastille Day.

Dalam titah perutusan tersebut, Baginda menzahirkan penghargaan yang tinggi terhadap persahabatan yang berharga dan kerjasama yang rapat di antara kedua-dua buah negara dan berharap untuk mengukuhkan lagi ikatan persahabatan yang penting sejak sekian lama ini di masa hadapan. Baginda mengakhiri perutusan tersebut dengan menyampaikan salam muhibah kepada Presiden Hollande dan ucapan semoga gembira menyambut perayaan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA