Perutusan tahniah kepada Presiden Obama

Perutusan tahniah kepada Presiden Obama

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama serta kerajaan dan rakyat AS bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Amerika Syarikat.

Dalam perutusan tersebut, Baginda amat gembira bekerja dengan Presiden Obama selama setahun yang lalu dalam mengukuhkan tali persahabatan yang sudah lama terjalin diantara kedua-dua buah negara.

Baginda seterusnya berharap untuk terus meningkatkan lagi hubungan yang amat bernilai itu di semua peringkat kerjasama terutamanya apabila sudah sampai masa yang dekat untuk merealisasikan Rakan Kongsi Rentas Pasifik.

Baginda mengakhiri perutusan tersebut dengan menyampaikan salam muhibah kepada Presiden Obama dan keluarganya, semoga mereka akan meraikan perayaan 4 Julai yang menggembirakan.

Sementara itu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan juga menghantar perutusan yang serupa kepada Setiausaha Negara AS, John F. Kerry.

Dalam perutusan itu, Duli Yang Teramat Mulia bersabda, hubungan erat dan perkongsian antara Brunei-AS yang menjangkau lebih 160 tahun sentiasa teguh dan Duli Yang Teramat Mulia sangat menghargai sumbangan peribadi beliau kepada kerjasama dan muhibah yang terus dikongsi bersama.

Duli Yang Teramat Mulia berharap Tuan Yang Terutama John F. Kerry kembali pulih daripada kemalangan yang dialami baru-baru ini serta berharap untuk meneruskan kerjasama yang berharga.

ARTIKEL YANG SAMA