Perutusan tahniah kepada Thailand

Perutusan tahniah kepada Thailand

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Raja Thailand, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej dan Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral Prayut Chan-o-cha sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej ke-88 tahun.

Dalam titah perutusan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat menghargai pertalian yang sangat penting yang telah sekian lama terjalin dengan Thailand dan melahirkan harapan untuk mengukuhkan lagi persahabatan mesra dan kerjasama dua hala yang dinikmati oleh kedua-dua buah negara serta rakyat pada tahun-tahun akan datang.

Baginda mengakhiri perutusan tersebut dengan menyatakan harapan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej akan sentiasa berada dalam kesejahteraan dan kebahagian.

Sementara itu, dalam titah perutusan kepada TYT General Prayut Chan-o-cha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat menghargai persahabatan yang mesra dan kerjasama yang sekian lama dinikmati oleh kedua-dua buah negara serta rakyat masing-masing.

Baginda juga melahirkan harapan agar dapat meneruskan kerja dengan Tuan Yang Terutama bagi mengukuhkan lagi hubungan yang mesra ini pada tahun-tahun akan datang, baik dalam bidang dua hala mahupun melalui kerjasama penting di rantau ini.

Dalam mengakhiri perutusan, Baginda menyampaikan salam mesra kepada Tuan Yang Terutama dan seterusnya berharap akan bergembira menyambut hari perayaan tersebut dan tahun baru yang akan menjelang.

ARTIKEL YANG SAMA