Perutusan tahniah kepada Vietnam

Perutusan tahniah kepada Vietnam

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Presiden Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Truong Tan Sang dan Perdana Menterinya, Tuan Yang Terutama Nguyen Tan Dung berserta rakyat negara berkenaan sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-70 negara mereka.

Dalam perutusan kepada Tuan Yang Terutama Truong Tan Sang, Baginda Sultan menyuarakan penghargaan atas sumbangan peribadi Tuan Yang Terutama dalam mengukuhkan persahabatan mesra di antara kedua-dua buah negara dan berharap untuk terus bekerjasama dalam meningkatkan hubungan dua hala dan rakan kongsi di rantau ini.

Sementara itu, dalam perutusan yang sama kepada Tuan Yang Terutama Nguyen Tan Dung, Baginda menghargai hubungan mesra yang telah lama dikongsi oleh kedua-dua buah negara dan berharap untuk terus mengukuhkan lagi hubungan yang sangat dihargai itu pada mesyuarat-mesyuarat ASEAN dan APEC.

Dalam mengakhiri perutusan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan salam muhibah dan selamat menyambut perayaan yang menggembirakan kepada kedua-dua Tuan Yang Terutama serta rakyat Republik Sosialis Vietnam.

Manakala itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan turut berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Pham Binh Minh dan kerajaan serta rakyat negara itu.

Dalam perutusan itu, Duli Yang Teramat Mulia menyuarakan perasaan gembira kerana dapat bertemu dengan Tuan Yang Terutama semasa mesyuarat ASEAN di Kuala Lumpur bulan lalu dan mengucapkan semoga berjaya sebagai negara penyelaras bagi Dialog ASEAN-India.

Duli Yang Teramat Mulia juga berharap untuk meneruskan kerjasama di bulan-bulan akan datang bagi mengukuhkan persahabatan dan kerjasama rapat di antara kedua-dua buah negara.

Dalam mengakhiri perutusan, Duli Yang Teramat Mulia menyampaikan salam muhibah dan selamat menyambut perayaan yang menggembirakan kepada Tuan Yang Terutama dan keluarga.

ARTIKEL YANG SAMA