Perutusan tahniah sempena Hari Kanada

Perutusan tahniah sempena Hari Kanada

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Gabenor Jeneral Kanada, Tuan Yang Terutama The Right Honourable David Johnston serta kerajaan dan rakyat Kanada bersempena dengan Hari Kanada.

Dalam perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitahkan bahawa kedua-dua buah negara dan rakyat telah menikmati hubungan mesra yang sudah lama terjalin sejak tahun-tahun lalu.

Baginda berharap untuk meneruskan pengukuhan kerjasama diantara Negara Brunei Darussalam dan Kanada secara dua hala serta melalui kerja-kerja bersama dalam ASEAN, APEC dan rakan kongsi Rentas Pasifik.

Baginda mengakhiri perutusan tersebut dengan menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama The Right Honourable David Johnston.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negara dan Perdagangan juga mengutus perutusan yang sama kepada Menteri Hal Ehwal Luar Kanada, Rob Nicholson serta kerajaan dan rakyat Kanada.

Dalam sabda perutusan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia begitu menghargai kerjasama antara kedua-dua negara dalam perkongsian Rentas Pasifik dan juga dalam hubungan dua hala Brunei-Kanada, terutamanya dalam pertahanan. Duli Yang Teramat Mulia juga sangat menghargai sumbangan dalam penyelidikan dan sokongan yang telah dibuat oleh para pakar Kanada dalam pendidikan berkeperluan khas di Brunei.

Duli Yang Teramat Mulia mengakhiri sabda perutusan itu dengan mengucapkan tahniah kepada Kanada kerana telah dengan jayanya menjadi tuan rumah bagi Piala Bola Sepak Dunia Wanita 2015 baru-baru ini yang mendapat liputan seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA