Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan Laos

Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan Laos

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Choummaly Sayasone dan Perdana Menterinya, Tuan Yang Terutama Thongsing Thammavong serta kerajaan dan rakyat negara itu sempena Hari Kebangsaan mereka yang ke-40 tahun.

Dalam perutusan kepada Presiden Choummaly Sayasone, Baginda sangat menghargai persahabatan dan kerjasama mesra yang sekian lama dikongsikan oleh kedua-dua buah negara sama ada secara dua hala dan juga melalui kerjasama dalam ASEAN.

Dalam kesempatan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengucapkan selamat berjaya kepada Tuan Yang Terutama Choummaly Sayasone dan kerajaan Republik Rakyat Lao dalam persiapannya bagi menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun hadapan.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Baginda Sultan menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama dan berharap semoga beliau akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan bahagia.

Sementara itu, dalam perutusan Baginda kepada Perdana Menteri Thongsing Thammavong, Baginda sangat menghargai persahabatan dan kerjasama yang mesra dan berharga dinikmati oleh kedua-dua buah negara dan rakyat.

Baginda seterusnya berharap untuk terus dapat bekerja dengan Tuan Yang Terutama bagi mengukuhkan lagi ikatan persahabatan yang berharga ini pada tahun-tahun yang akan datang.

Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama dan berharap semoga beliau akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan bahagia serta berjaya dalam persediaannya menjadi Pengerusi bagi Sidang ASEAN pada tahun 2016 nanti.

ARTIKEL YANG SAMA