Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan S’pura

Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan S’pura

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Singapura, Dr. Tony Tan Keng Yam dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, kerajaan serta rakyat Republik Singapura sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-51 negara berkenaan.

Dalam titah perutusan tahniah kepada Dr. Tony Tan Keng Yam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan penghargaan atas hubungan persahabatan dan kerjasama yang telah lama terjalin yang terus kukuh dan semakin akrab di antara kedua-dua buah negara dan rakyat.

Sementara itu, dalam perutusan yang sama kepada Lee Hsien Loong, Baginda amat menghargai persahabatan erat dan juga rakan kongsi bernilai yang berterusan di antara rakyat, dalam bidang perniagaan dan juga kerajaan kedua-dua buah negara, serta berharap agar hubungan persahabatan sedemikian akan terus dipertingkatkan lagi pada tahun akan datang.

Pada mengakhiri perutusan Baginda kepada presiden dan perdana menteri Republik Singapura berkenaan, Baginda menyampaikan ucapan selamat menyambut hari perayaan kepada kedua-duanya dan keluarga serta kepada seluruh rakyat Singapura.