Perutusan tahniah sempena SG50

Perutusan tahniah sempena SG50

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr. Tony Tan Keng Yam dan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, serta kerajaan dan rakyat Republik Singapura bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Yang Ke-50 Republik Singapura.

Dalam titah perutusan kepada Presiden Dr. Tony Tan, Baginda Sultan telah menitahkan bersempena dengan Sambutan 50 Tahun Hari Kebangsaan Republik Singapura, Baginda bersama-sama dengan rakyat Baginda meraikan pencapaian-pencapaian yang telah diperolehi selama ini yang mana menjadi kebanggaan Republik Singapura dan seterusnya mengangkat Republik Singapura di peringkat serantau dan antarabangsa.

Baginda juga sangat menghargai hubungan erat yang telah terjalin di antara rakyat Negara Brunei Darussalam dan rakyat Republik Singapura, dan juga kerjasama yang bernilai dan penting yang telah wujud sekian lama.

Baginda yakin bahawa hubungan itu akan terus diperkukuhkan lagi pada masa akan datang.

Pada mengakhiri perutusan kepada Tuan Yang Terutama Dr. Tony Tan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan ucapan selamat menyambut Perayaan Hari Kebangsaan SG50 dan semoga beliau sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bahagia.

Sementara itu, dalam titah perutusan yang sama kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menitahkan bahawa pencapaian yang telah diperolehi oleh Singapura dalam tempoh lima dekad adalah memperlihatkan pencapaian dari adunan transformasi, pemimpin yang berwawasan dan dedikasi rakyat Singapura.

Kemakmuran dan kestabilan yang dinikmati oleh Republik Singapura akan terus menjadi ikutan dan tanda aras berkerajaan di rantau ini dan di mana-mana jua.

Baginda seterusnya menghargai bahawa hubungan dua hala di kedua-dua belah pihak terus bertambah akrab melalui jalinan persahabatan peribadi dalam semua peringkat dan juga kerjasama yang cemerlang di antara kedua-dua buah kerajaan.

Baginda seterusnya berharap untuk terus bekerja dengan Tuan Yang Terutama ke arah mengukuhkan lagi pertalian yang sudah lama terjalin dan sangat bernilai ini.

Mengakhiri perutusan tersebut, Baginda menyampaikan ucapan selamat kepada TYT Lee Hsien Loong dan keluarga dan juga kepada seluruh rakyat Republik Singapura di mana saja mereka berada bersempena dengan menyambut Perayaan Hari Kebangsaan SG50.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan berkenan menghantar sabda perutusan tahniah kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Menteri Undang-Undang, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama K. Shanmugam sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Republik Singapura yang ke-50.

Dalam sabda perutusan itu, Duli Yang Teramat Mulia melahirkan kegembiraan dapat berjumpa Tuan Yang Terutama semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Duli Yang Teramat Mulia juga berharap untuk terus bekerjasama dengan TYT pada tahun lepas untuk mengukuhkan kerjasama berharga dan persahabatan mesra di antara kedua-dua buah negara dan rakyat.         DYTM berharap dapat meningkatkan hubungan yang telah lama terjalin di antara kedua-dua buah negara pada tahun-tahun yang akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA