Perutusan tahniah untuk Rusia dan Filipina

Perutusan tahniah untuk Rusia dan Filipina

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, serta kerajaan dan rakyat Rusia sempena Hari Kebangsaan Persekutuan Rusia.

Baginda juga berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Benigno S. Aquino III, serta kerajaan dan rakyat Filipina sempena Ulang Tahun ke-117 Hari Kemerdekaan Republik Filipina.

Dalam perutusan kepada Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, Baginda menghargai pertalian mesra dan persahabatan erat yang dikongsi oleh kedua-dua buah negara dan rakyat.

Baginda berharap untuk meneruskan lagi kerjasama dengan Presiden Vladimir Putin untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Brunei Darussalam dan Persekutuan Rusia dan juga melalui kerjasama serantau terutamanya dalam Dialog ASEAN-Rusia, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Pada mengakhiri perutusan tersebut, Baginda menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama Vladimir Putin.

Dalam perutusan kepada Presiden Benigno S. Aquino III pula, Kebawah Duli Yang Maha Mulia amat gembira bahawa hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara telah menjadi kukuh sejak tahun-tahun kebelakangan dengan perkembangan kerjasama dan persahabatan yang erat.

Baginda seterusnya berharap untuk membina lagi asas yang kukuh itu bagi mengukuhkan lagi talian di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina dalam meneruskan kerjasama dengan Tuan Yang Terutama di masa depan.

Baginda seterusnya menyampaikan harapan baik semoga Tuan Yang Terutama akan beroleh kejayaan dalam mempengerusikan APEC 2015 dan berharap untuk berjumpa dengan Tuan Yang Terutama di Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin APEC (AELM) pada akhir tahun ini.

Pada mengakhiri perutusan tersebut, Baginda Sultan menyampaikan salam muhibah kepada Tuan Yang Terutama Benigno S. Aquino III.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, berkenan menghantar perutusan tahniah kepada Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Albert F. Del Rosario, dan kepada Menteri Hal Ehwal Luar Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Sergey Lavrov, serta kerajaan dan rakyat negara masing-masing, sempena hari bersejarah kedua-dua buah negara berkenaan.

Dalam perutusan tahniah kepada TYT Albert F. Del Rosario, Duli Yang Teramat Mulia menyatakan perasaan gembira kerana dapat bekerjasama dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan perkongsian serantau yang berpanjangan.

Duli Yang Teramat Mulia turut meluahkan penghargaan terhadap sumbangan rakyat Filipina di Brunei, sama ada di sektor awam dan swasta.

Dalam pada itu, Duli Yang Teramat Mulia turut mengucapkan semoga berjaya dalam menganjurkan sidang kemuncak APEC tahun ini.

Sementara itu, dalam perutusan kepada TYT Sergey Lavrov, Duli Yang Teramat Mulia menghargai hubungan mesra di antara kedua-dua negara dan rakyat selama ini.

Duli Yang Teramat Mulia turut menyatakan perasaan gembira apabila mendapat tahu bahawa rakyat Brunei terus dijemput untuk menyertai Pertandingan Membaca Al-Quran Antarabangsa di Moscow, serta mengalu-alukan kesefahaman agama dan budaya yang terhasil daripada pertandingan itu.

Duli Yang Teramat Mulia juga tidak sabar untuk terus bekerjasama dalam mengukuhkan perkongsian yang sangat dihargai dalam forum serantau ASEAN dan Dialog ASEAN-Rusia.

ARTIKEL YANG SAMA