Perutusan takziah dan simpati

Perutusan takziah dan simpati

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan simpati kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Ketua Menteri Sabah, Dato Seri Paduka Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, berikutan dengan kejadian gempa bumi yang melanda Ranau, Sabah baru-baru ini yang telah mengorbankan nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda awam dan persendirian.

Baginda juga telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong serta kerajaan dan rakyat Republik Singapura berikutan dengan kehilangan nyawa rakyat Singapura dalam kejadian gempa bumi tersebut.

Dalam perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Perdana Menteri Malaysia, Baginda menyampaikan rasa simpati kepada Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib dan penduduk negeri Sabah yang terlibat. Baginda seterusnya berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan sentiasa memberi perlindungan kepada YAB dan keluarga serta kerajaan dan rakyat Malaysia.

Sementara itu, dalam perutusan Kebawah DYMM kepada Dato Seri Paduka Datuk Seri Panglima Musa, Baginda dan kerajaan serta rakyat Negara Brunei Darussalam juga menyampaikan rasa simpati kepada YAB dan semua penduduk negeri Sabah di atas kejadian tersebut dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar YAB dan keluarga serta rakyat Malaysia akan sentiasa terpelihara.

Di dalam perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada Perdana Menteri Republik Singapura, Baginda amat berdukacita mengetahui mengenai kehilangan jiwa rakyat Singapura itu dan berharap semoga pasukan mencari dan menyelamat akan berjaya di dalam usaha-usaha mereka untuk mencari beberapa orang rakyat Singapura yang masih belum ditemui dan semoga mereka akan dapat pulang ke tanah air dengan selamat.

Baginda mengucapkan simpati dan takziah yang amat mendalam kepada TYT Lee Hsien Loong serta kerajaan dan rakyat Singapura, terutamanya keluarga-keluarga mangsa yang terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA