Perutusan takziah kepada Indonesia dan Thailand

Perutusan takziah kepada Indonesia dan Thailand

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Presiden Indonesia mengenai nahas kapal terbang Trigana Air IL264 di Papua dan Perdana Menteri Thailand mengenai letupan bom yang berlaku di Central Bangkok baru-baru ini.

Di dalam perutusan takziah kepada Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo dan kerajaan serta rakyatnya, Baginda berasa sedih mendengar berita tentang nahas kapal terbang berkenaan. Baginda berserta kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada Tuan Yang Terutama, kerajaan dan rakyatnya terutama sekali keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut. Baginda berharap agar mereka terus bersabar menghadapi musibah ini.

Manakala dalam perutusan takziah kepada Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral Prayuth Chan-O-Cha, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menzahirkan rasa terkejut mengetahui tentang kejadian letupan bom berkenaan yang mengakibatkan kehilangan jiwa.

Baginda dan kerajaan serta rakyat Negara Brunei Darussalam mengutuk tindakan ganas tersebut dan menyampaikan simpati yang mendalam dan ucapan takziah kepada Tuan Yang Terutama dan kerajaan serta rakyat Thailand, terutama sekali kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

ARTIKEL YANG SAMA