Perutusan takziah kepada Raja Arab Saudi

Perutusan takziah kepada Raja Arab Saudi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkian Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi berikutan dengan kejadian serangan bom di Jedah, Madinah dan Qatif, Arab Saudi baru-baru ini.

Dalam titah perutusan takziah tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berasa amat terkejut mengetahui tentang serangan bom yang berlaku di Arab Saudi terutama menjelang tiba Aidilfitri.

Baginda dan kerajaan serta rakyat Negara Brunei Darussalam menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Raja Arab Saudi, kerajaan serta rakyat Arab Saudi terutama sekali keluarga-keluarga mangsa serangan bom tersebut.

Brunei Darussalam berdiri teguh bersama-sama dengan Arab Saudi dan dalam waktu yang sama mengutuk tindakan pengganas yang kejam ini.

Baginda seterusnya berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala akan memelihara dan melindungi kita semua. Pada mengakhiri perutusan takziah tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyampaikan simpati yang amat mendalam.

Sementara itu, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail mengesahkan semua warga negara Brunei berada dalam keadaan selamat.

Dalam temu ramah dengan RTB, Dato Seri Setia Haji Yusoff menjelaskan, berdasarkan maklumat yang diterima, semua warga Negara Brunei Darussalam yang berada di Arab Saudi terutama sekali jemaah umrah yang ketika ini sedang berada di Madinah Al-Munawarah adalah dalam keadaan selamat.

Dan sebahagian lagi para jemaah umrah telah dan sedang berada di Kota Mekah al-Mukarramah.

Menurut beliau, Kedutaan Besar Negara Brunei Darus-salam di Riyadh de-ngan kerjasama pihak Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah akan sentiasa memantau keadaan warga Negara Brunei Darussalam yang berada di Arab Saudi khususnya pada jemaah umrah. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pejabat Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Arab Saudi di talian 966505469426.