Perwakilan asing kagumi keunikan sambutan Aidilfitri

Perwakilan asing kagumi keunikan sambutan Aidilfitri

Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Muiz Matdani & Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Kemeriahan dan keunikan tradisi sambutan Hari Raya Aidilfitri di Brunei ini bukan sahaja menarik perhatian perwakilan asing di negara ini malah mereka berpendapat ia adalah cerminan kepada kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Nagma Mohamed Mallick berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berjaya memimpin rakyat dan penduduk negara ini dengan penuh bijaksana di mana mereka sangat berjaya mengimbangi antara keperluan semasa dan keagamaan terutama di bulan Ramadan.

Ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi orang-orang kenamaan dan perwakilan diplomatik dan VVIP di Istana Nurul Iman kelmarin, beliau berkata, rakyat negara ini merupakan komuniti moden dan berpendidikan namun pada masa yang sama mereka (penduduk negara ini) tetap kukuh mengimarahkan ibadat seperti yang dilihatnya pada bulan Ramadan pertama beliau di negara ini terutama dengan berlangsungnya banyak acara amal dan keagamaan pada sepanjang Ramadan yang baru saja berlalu.

Nagma Mohamed Mallick.
Nagma Mohamed Mallick.

“Saya sangat gembira untuk berada di majlis hari ini dan ia merupakan pengalaman yang manis bagi saya dan saya sangat berbesar hati melihat semangat dan keharmonian yang diperlihatkan oleh semua warga negara ini.

“Pada saya kejayaan besar di negara ini adalah pengimbangan antara duniawi dan ukhrawi yang pada saya merupakan satu idaman daripada semua warga di dunia ini dan secara peribadi saya sangat tenang untuk berada di negara ini.”

Menurut beliau, semangat memberi adalah antara yang sangat suka beliau lihat di sepanjang dua bulan kebelakangan ini dan beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga Negara Brunei Darussalam dan seluruh warga India yang berada di negara ini di musim lebaran ini.

Craig B. Allen.
Craig B. Allen.

Sementara itu Duta besar Amerika Syarikat ke Brunei, Craig B. Allen pula melahirkan perasaan terujanya untuk terlibat di dalam majlis itu meskipun bukan kali pertama namun padanya setelah mengalaminya sebelum ini, majlis berkenaan adalah antara yang dinanti-nantikannya.

Menurut Craig B. Allen, sikap murah hati dan semangat serta kesatuan di negara ini adalah satu yang sangat dikaguminya dan ia membuatkan beliau sangat teruja berbesar hati untuk mengalami bulan Ramadan di negara ini dan sangat gembira untuk berada di Istana Nurul Iman pada tahun ini.

Seperti juga Nagma Mohamed Mallick, Craig B.Allen turut gembira untuk melihat acara amal dan persepaduan penduduk negara ini terutama di dalam membantu mereka yang kurang berkeupayaan untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Marina Laker.
Marina Laker.

“Hari Raya Aidilfitri kali ini adalah yang kedua bagi saya dan ia adalah bulan yang sangat saya gemari dan buat kali kedua kali ini saya berpeluang untuk merasakan sendiri pengalaman berbuka puasa bersama rakan dan teman yang beragama Islam,” ujar Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Brunei Darussalam, Marina Laker.

Menurutnya, beliau sudah mengalami beberapa pengalaman Hari Raya Aidilfitri di dua negara Islam antaranya Syria dan Afghanistan dan katanya Hari Raya di sini adalah masa terbaik untuk mengeratkan tali persahabatan dan perasaan gembira apabila menerima jemputan ke rumah terbuka yang padanya sangat unik.

Beliau mewakili seluruh warga Suruhanjaya Tinggi Kanada mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh warga negara ini dan kepada semua rakan-rakan seperjuangan yang beragama Islam di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA