Perwakilan IBTE hadiri mesyuarat di Vietnam

Perwakilan IBTE hadiri mesyuarat di Vietnam

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Pengarah Pendidikan Teknikal dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), juga ahli Lembaga Pentadbir SEAMEO CELLL, Dr. Chin Wei Keh, baru-baru ini telah menghadiri Mesyuarat Pakar mengenai ‘Menuju Agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat ASEAN’ yang berlangsung selama dua hari di Pejabat Pusat Serantau SEAMEO bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat (SEAMEO CELLL) di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Beliau turut disertai oleh dua orang pegawai IBTE, iaitu Hajah Norhakimah binti Haji Mohd Nor dan Dayang Siti Mulsinah binti Matussin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh IBTE, di sini, mesyuarat yang ditaja oleh Institut UNESCO bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat (UIL) itu bertujuan untuk mengkaji semula amalan-amalan terbaik negara dan menggariskan dasar-dasar pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan negara-negara anggota dan untuk membincangkan pengajaran yang dipelajari dan memberikan cadangan.

Ketika mesyuarat, setiap negara membentangkan hasil kajian negara masing-masing dan mewakili pihak Brunei Darussalam ialah Hajah Norhakimah sebagai pakar Tumpuan Utama Brunei Darussalam.

(Dari kiri) Dayang Siti Mulsinah, Dr. Chin Wei Keh dan Hajah Norhakimah.
(Dari kiri) Dayang Siti Mulsinah, Dr. Chin Wei Keh dan Hajah Norhakimah.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum mesyuarat, IBTE telah bekerjasama dengan Institut Pendidikan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk mengadakan bengkel kebangsaan bersama kerajaan dan agensi-agensi bukan kerajaan mengenai ‘Mendokumenkan Kejayaan Dasar dan Amalan Bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat’.

Menerusi bengkel tersebut, laporan kebangsaan telah disediakan yang mendokumenkan gambaran keseluruhan peluang-peluang pembelajaran sepanjang hayat di Brunei Darussalam dalam tiga bidang iaitu Pembangunan Profesional Berterusan Guru-Guru dan Pemudah Cara, Menghubungkan Sektor-sektor Berlainan bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat serta Tempat-tempat dan Pusat Pembelajaran Berasaskan Komuniti.

Mesyuarat dua hari itu melibatkan satu siri sesi perbincangan selari mengenai cadangan-cadangan pembelajaran sepanjang hayat dan tindakan-tindakan strategi bagi pelaksanaannya, di samping itu, SEAMEO CELLL turut mengongsikan rancangan mereka mengenai portal dalam talian serantau bagi perkongsian pengetahuan dan pembelajaran serta mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat.

Menyertai mesyuarat tersebut ialah pihak-pihak berkepentingan projek berkenaan dan ahli-ahli Lembaga Pentadbir SEAMEO CELLL serta pakar-pakar tumpuan utama dari semua negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste.

ARTIKEL YANG SAMA