Perwakilan negara giat promosi produk tempatan

Oleh Siti Nur Wasimah S & Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Perwakilan-perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negara akan sentiasa bersedia untuk memajukan dan mempromosikan produk-produk tempatan di negara ini dalam sama-sama membantu menembusi pasaran serantau mahupun antarabangsa.

Ia dilakukan menerusi aktiviti-aktiviti yang diadakan seperti hari-hari ASEAN yang mana kesemua perwakilan di negara ASEAN akan bersatu dan mempamerkan produk-produk masing-masing kepada negara di mana mereka berada.

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof turut menekankan bahawa produk-produk tersebut mestilah mencapai tahap yang boleh diketengahkan sepertimana beberapa negara maju yang memerlukan produk-produk tersebut mencapai tahap atau standard dari segi keselamatan dan kualiti.

Yang Berhormat Dato menjelaskan perkara berkenaan semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman mengenai dengan pemajuan produk buatan Brunei pada hari keenam Permesyuaratan ke-14, Majlis Mesyuarat Negara di Bangunan Dewan Majlis di ibu negara, petang tadi.

Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, pihak kementeriannya akan terus berusaha dan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi berkenaan seperti Jabatan Tenaga dan Perindustrian dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dalam mempromosikan produk-produk yang sudah sedia untuk dieksport ke luar negeri.

Oleh yang demikian, pihak kementerian menjemput mana-mana syarikat yang sudah mempunyai produk-produk atau perkhidmatan untuk mempromosikannya di pejabat-pejabat perwakilan di luar negeri. Menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed mengenai perancangan kementerian bagi meningkatkan perdagangan di luar negara, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa usaha-usaha kementeriannya adalah menerusi memberikan bantuan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Bantuan berkenaan, tambah beliau, adalah dengan menyertai ekspo-ekspo perdagangan dan produk-produk mereka dipamerkan di perwakilan-perwakilan.

Selain itu juga membuka pasaran di luar negeri kepada barangan dari Brunei, antaranya dengan mengadakan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas dan seterusnya untuk meneliti tatacara pengimportan dari negara-negara tersebut supaya syarikat-syarikat perusahaan-perusahaan yang sudah mempunyai produk berpotensi dapat menembusi pasaran dengan kelayakan peraturan-peraturan yang diperlukan oleh negara tersebut.