Perwira negara kembali ke tanah air

Perwira negara kembali ke tanah air

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Setelah berjaya menamatkan tugas yang diamanahkan kepada mereka selama setahun, seramai 29 orang wira negara yang menyertai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) selamat kembali ke tanah air serta diraikan dalam Upacara Perbarisan Ketibaan Anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Malaysian Battalion 850-3 (MALBATT 850-3) bagi misi UNIFIL di Dewan Gimnasium, Bolkiah Garison, hari ini.

Hadir untuk mengalu-alukan kepulangan kontinjen ABDB yang diraikan berkenaan ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pengarah-pengarah, komandan, pegawai-pegawai kanan ABDB serta ahli-ahli keluarga kontinjen.

Di majlis berkenaan, Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih berpeluang untuk berjumpa dengan kontinjen seramai 29 orang anggota ABDB yang diketuai oleh Kapten Haji Mohammad Faizi bin Haji Tahir.

Kapten Haji Mohammad Faizi dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan perasaan syukur kerana beliau bersama ahli-ahli pasukannya telah berjaya menamatkan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka selama setahun dalam menyertai misi pengamanan di Lubnan dan telah selamat kembali ke tanah air.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih bergambar ramai dengan kontinjen ABDB yang menamatkan penugasan UNIFIL mereka.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih bergambar ramai dengan kontinjen ABDB yang menamatkan penugasan UNIFIL mereka.
Keriangan jelas kelihatan di wajah anggota ABDB yang berjaya menamatkan penugasan UNIFIL bersama keluarganya.
Keriangan jelas kelihatan di wajah anggota ABDB yang berjaya menamatkan penugasan UNIFIL bersama keluarganya.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada pihak kerajaan dan ABDB kerana telah memberikan mereka peluang untuk menimba pengalaman dan kemahiran dalam menyertai misi pengaman di Lubnan bersama Pasukan MALBATT 850-3.

Sepanjang penugasan mereka di Lubnan, Kapten Haji Mohammad Faizi berkata, ia merupakan misi pengaman yang berjaya dilaksanakan oleh dua buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Beliau turut menyatakan harapan bahawa kerjasama yang erat di antara kedua-dua buah negara itu dapat diteruskan di masa akan datang kerana ia dapat memberi banyak manfaat kepada anggota ABDB dalam menempuh satu kerjaya yang mantap sebagai anggota pasukan pengaman.

Beliau juga berharap anggota ABDB yang berminat untuk tidak melepaskan peluang menimba pengalaman yang amat berharga serta memajukan diri mereka dengan menyertai pasukan misi pengaman.

Kontinjen UNIFIL MALBATT 850-3 itu telah bertolak ke Lubnan pada 1 September 2015 lepas dan setelah bertugas selama setahun, pasukan berkenaan berjaya untuk menamatkan penugasan mereka dan selamat kembali ke tanah air.

Sejak 2008, Negara Brunei Darussalam telah menghantar kontinjen untuk menyertai misi pengaman ke Lubnan di mana ia telah menjadi peluang bagi ABDB serta Negara Brunei Darussalam untuk menyumbang kepada pasukan pengaman PBB sejajar dengan mandat PBB.

ARTIKEL YANG SAMA