PES, BMB sekadar seri

PES, BMB sekadar seri

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – PES dan BMB FT terikat 3-3 dalam Kumpulan A Futsal Piala Perdana TelBru 2015, sekali gus membolehkan 1st Five FT layak ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan selepas menang 6-3 ke atas Samba FT dalam perlawanan terdahulu.

BMB dan PES terikat 1-1 pada separuh masa pertama menerusi dua gol minit terakhir babak pertama jaringan Mohd Arif untuk BMB disusuli jaringan Hafizah untuk PES menerusi sepakan penalti 10 meter hanya lima saat kemudian tatkala perlawanan berbaki dua saat selepas BMB melakukan enam kesalahan terkumpul.

Bermula separuh masa kedua, PES lebih awal meledakkan jaringan menerusi Mohd Fadhil pada minit ke-21, namun tiga minit kemudian kedudukan kembali seimbang pada 2-2 apabila Zulfadhli menjaringkan gol buat BMB.

Seminit kemudian iaitu pada minit ke-25, giliran BMB pula mendahului perlawanan 3-2 menerusi jaringan Mohd Ikhmarul Izzat.

PES (biru) dan BMB FT (kuning) terikat 3-3 dalam saingan Kumpulan A semalam.
PES (biru) dan BMB FT (kuning) terikat 3-3 dalam saingan Kumpulan A semalam.

BMB yang seri 4-4 dengan Samba pada perlawanan pertamanya sudah melihat tiga mata dalam genggamannya kali ini cuma untuk Syazani meranapkan harapan itu dengan jaringannya seminit sebelum permainan berakhir untuk mengikat kedudukan pada 3-3.

Setelah keempat-empat pasukan Kumpulan A melalui dua perlawanan, 1st Five FT menerajui Kumpulan A dengan enam mata, disusuli BMB, Samba dan PES yang masing-masing baru mengumpul satu mata.

Perlawanan seterusnya dalam Kumpulan A adalah Ahad nanti iaitu PES lawan Samba pada jam 2 petang disusuli 1st Five lawan BMB pada jam 4 petang.

Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

ARTIKEL YANG SAMA