Pesakit Brunei bebas MERS-CoV

Pesakit Brunei bebas MERS-CoV

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa pesakit wanita yang pada mulanya disyaki menghidap jangkitan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV), oleh Hospital Miri, didapati bebas daripada penyakit tersebut.

Hasil ujian makmal yang telah pun dilaksanakan menunjukkan bahawa ujian tersebut adalah negatif dan disahkan pesakit berkenaan tidak ada jangkitan MERS-CoV, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Walau bagaimanapun, pesakit tersebut ditahan bagi menerima rawatan selanjutnya kerana didapati menghidap penyakit radang paru-paru (Pneumonia).

Kenyataan itu berkata, Kementerian Kesihatan telah dimaklumkan pada 12 Jun 2015 bahawa semasa seorang warganegara Brunei Darussalam pergi ke Miri pada 11 Jun 2015 dimana beliau berasa kurang sihat termasuk batuk dan selesema dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta di Miri dan seterusnya dirujuk ke Hospital Umum Miri.

Disebabkan dikesan mempunyai sejarah perjalanan ke Arab Saudi, beliau disyaki kemungkinan menunjukkan tanda-tanda awal penyakit MERS-CoV.

Pada sebelah malam hari yang sama, pihak Kementerian Kesihatan setelah menghubungi pihak Hospital Umum Miri, dimaklumkan bahawa pesakit telah meninggalkan Hospital Umum Miri.

Pesakit tersebut telah balik ke Negara Brunei Darussalam dan seterusnya datang bersama keluarga pada jam 9.55 malam itu ke Bahagian Kemalangan dan Kecemasan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk mendapatkan rawatan.

Semasa pemeriksaan, pesakit didapati mempunyai suhu badan yang tinggi dan jangkitan paru-paru di mana beliau telah dimasukkan ke wad pengasingan. Untuk memastikan kesahihan sama ada beliau dijangkiti MERS-CoV ataupun sebaliknya, maka ujian makmal dijalankan mengikut piawaian dan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Hasil ujian makmal yang telah pun dilaksanakan menunjukkan bahawa ujian tersebut adalah negatif dan disahkan pesakit berkenaan tidak ada jangkitan MERS-CoV. Bagaimanapun, pesakit tersebut ditahan bagi menerima rawatan selanjutnya kerana didapati menghidap penyakit radang paru-paru (Pneumonia).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak merasa cemas dan panik serta tidak menyebar maklumat-maklumat yang tidak sahih.

Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa setakat ini, tidak ada kes jangkitan MERS-CoV dikesan di Brunei Darussalam. Orang ramai dinasihatkan mendapatkan nasihat profesional kesihatan sekiranya terdapat tanda-tanda awal seperti demam dan batuk sama ada semasa berada di luar negeri atau dalam tempoh masa 14 hari selepas melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas khususnya negara-negara Timur Tengah dan Republik Korea.

Pihak kementerian akan terus memantau perkembangan dan mendapatkan maklumat terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai wabak jangkitan penyakit ini serta memaklumkan sebarang perkembangan kepada orang ramai dari masa ke masa jika diperlukan. Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai jangkitan MERS-CoV, orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau menghubungi Healthline di talian 145 atau e-mel kepada dcd.bruhims@moh.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA