Pesakit Brunei Muara, Tutong dibantu

Pesakit Brunei Muara, Tutong dibantu

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Kementerian Kesihatan, melalui Bahagian Kebajikan Perubatan, mengadakan aktiviti Penyampaian Sumbangan Derma dan Peralatan Perubatan ke Rumah-rumah Pesakit daripada golongan keluarga yang kurang berkemampuan yang telah mendaftar dengan Bahagian Kebajikan Perubatan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Rombongan lawatan tersebut telah diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Haji Mahrub bin Haji Murni, Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Hajah Siti Mariam binti Haji Mohd Jaafar dan Timbalan Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) Dr Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said

Pada tahun ini seramai 19 pesakit dan keluarga mereka telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan derma, barang-barang keperluan asas dan peralatan perubatan di Daerah Brunei dan Muara serta Daerah Tutong.

Antara peralatan perubatan yang disumbangkan termasuk Ripple Mattress, reclining wheelchair, kerusi roda, commode dan katil hospital kepada para pesakit yang memerlukan.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan barang, peralatan dan wang tunai kepada Dayang Nur Hidayah.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan barang, peralatan dan wang tunai kepada Dayang Nur Hidayah.

Derma dan barang-barang keperluan asas serta peralatan tersebut diperoleh melalui Tabung Bantuan Amal Kebajikan Perubatan, Kementerian Kesihatan melalui aktiviti-aktiviti amal yang dianjurkan serta sumbangan ikhlas daripada syarikat swasta, kakitangan Kementerian Kesihatan dan orang persendirian.

Semasa ditemu bual pihak media, Yang Berhormat Pehin berkata, lawatan amal itu disertai sama oleh anggota daripada Persatuan Perubatan Brunei (BMA), Persatuan Kesihatan Bersekutu (AHA), Persatuan Saintis Makmal Perubatan Brunei (BAMLS), Persatuan Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan, Pegawai dan Kakitangan Hospital, Persatuan Jururawat Brunei (PENJURU) dan pihak swasta.

“Daripada hasil kajian dan pemerhatian, Kementerian Kesihatan telah pun mengenal pasti pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan bukan saja dari aspek alat-alat yang diperlukan seperti kerusi roda, tilam dan barang-barang yang diperlukan, tetapi juga kita berusaha untuk meringankan beban pesakit serta keluarga mereka yang sesuai untuk diberikan bantuan,” kata beliau.

Ini menurutnya lagi, bukan saja untuk meringankan bebanan malah untuk memberikan semangat kepada mereka dan para doktor dan kakitangan perubatan yang mengikuti rombongan itu juga menjalankan pemeriksaan ke atas pesakit serta melihat keadaan perubahan pesakit serta bantuan kesihatan yang masih diperlukan oleh mereka.

“Pihak Kementerian Kesihatan bukan saja memberikan perhatian kepada pesakit bukan saja semasa mereka berada di hospital, tetapi juga keadaan perumahan mereka yang perlu diberikan bantuan,” ujarnya.

Salah sebuah keluarga penerima sumbangan.
Salah sebuah keluarga penerima sumbangan.

Salah seorang pesakit yang pertama dilawati oleh rombongan Menteri Kesihatan ialah Dayang Nur Hidayah binti Mohd Asrul, 18, dari Kampung Katimahar yang terlantar di katil sejak dua tahun lalu akibat mengidap beberapa komplikasi penyakit.

Menurut kakaknya, Haziqah, 20, penderitaan adiknya bermula dua tahun lalu ketika dia berumur 16 tahun apabila diserang sawan yang kemudiannya mengakibatkan pendarahan otak dan kini terpaksa menjalani dialisis.

Sebanyak lima zon lawatan dijalankan oleh rombongan Kementerian Kesihatan dengan rombongan Menteri Kesihatan meliputi Zon A yang meliputi empat buah rumah di kawasan Jalan Tutong dan Jalan Mulaut-Limau Manis.

Rombongan yang diketuai oleh Datin Paduka Dr Hajah Norlila melawat ke Zon B yang meliputi empat rumah pesakit di Mukim Sengkurong dan Lumapas dan rombongan Zon C yang meliputi empat rumah pesakit di Kampong Ayer diketuai oleh Haji Mahrub.

Sementara rombongan ke Zon D diketuai oleh Hajah Siti Mariam meliputi empat rumah pesakit di kawasan Kampung Mentiri, Kampung Kapok dan Sungai Belimbing manakala Zon E yang diketuai oleh Dr Hajah Rahmah meliputi empat buah rumah di Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA