Pesakit jiwa menyamar pegawai imigresen

Pesakit jiwa menyamar pegawai imigresen

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Seorang lelaki tempatan yang dipercayai pesakit jiwa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menyamar sebagai seorang pegawai imigresen.

Abu Sofian bin Haji Mohd Zin, 43, didakwa mendekati seorang lelaki di Hua Ho Tanjong Bunut pada 3 Disember 2015 kira-kira jam 12:45 tengah hari, di mana dia cuba memujuk lelaki itu untuk memberikannya wang $50.

Dia didakwa di bawah Seksyen 170 Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 yang membawa kepada hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria memohon kepada mahkamah untuk tertuduh ditahan di Unit Kesihatan Mental, RIPAS, bagi menjalani pemeriksaan mental.

Defendan mengaku dia adalah pesakit psikiatri di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan memberitahu mahkamah dia memakan ubat secara tetap.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin menetapkan 6 Januari 2016 untuk sebutan seterusnya.

ARTIKEL YANG SAMA