Pesalah dadah tetap jalani hukuman mati

Pesalah dadah tetap jalani hukuman mati

JAKARTA, 22 Jun (AFP) – Seorang pesalah dadah Perancis, hari ini, gagal dalam rayuan terhadap hukuman mati yang telah dijatuhkan ke atasnya, tetapi para peguamnya berikrar akan terus berusaha dan menghalang seorang lagi warga asing berdepan skuad tembak di Indonesia selepas siri-siri pelaksanaan hukuman mati yang mengundang kegemparan antarabangsa.

Bagaimanapun pihak berkuasa mengatakan pelaksanaan hukuman mat ke atas Serge Atlaoui belum pasti bila dilaksanakan, memandangkan dia tidak akan dihukum mati ketika bulan suci Ramadan ini sehingga pertengahan Julai.

Dia yang berusia 51 tahun dijangka dihukum mati bersama-sama tujuh lagi pesalah dadah warga asing telah mendapat penangguhan hukuman mati selepas Paris meningkatkan tekanan, dengan pihak berkuasa bersetuju membenarkan rayuan penting melalui laluannya.

Pelaksanaan hukuman mati pada bulan April lalu ke atas dua warga Australia, seorang warga Brazil dan empat warga Nigeria telah mencetuskan kemarahan sejagat. Tetapi Presiden Joko Widodo menegaskan penyeludup dadah yang disabitkan dengan kesalahan mesti dihukum berat dengan mengatakan Indonesia sedang berdepan krisis disebabkan meningkatnya penggunaan dadah.