Pesalah tegar kena 24 bulan, dua sebatan

Pesalah tegar kena 24 bulan, dua sebatan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160519_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan pada 2015 dan 2016.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli turut menjatuhkan denda $1,500 ke atas Mohammad Hafizuddien Aqil Abdullah Qayyum Sia bin Abdullah @ Sia Kok Jiang, 30, dan memberinya tempoh tiga bulan untuk membayar denda itu atau berdepan tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar.

Mohammad Hafizuddien didakwa mengambil dadah; dua pertuduhan melakukan kerosakan pada pintu pagar rumah persendirian dan pada paip air milik kerajaan di Jalan Gadong; dua tuduhan menceroboh masuk ke kawasan milik persendirian di Kampung Kuala Abang Layong dan di Kampung Beribi; melakukan kekerasan kepada anggota polis sebagai mengelak daripada ditangkap dan melakukan kerosakan pada kenderaan polis dengan menghantukkan kepalanya pada bumbung kereta tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 5 Disember 2015 hingga 13 April 2016.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal memerintahkan hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa 14 April 2016 iaitu hari pertama dia ditahan reman.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Vuina Song.

ARTIKEL YANG SAMA