Pesambah istimewa untuk raja dikasihi

Pesambah istimewa untuk raja dikasihi

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran 69 kali bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang diadakan di Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dan isteri, Datin Hajah Halimah binti Haji Mohd Taib dan dihadiri oleh seramai 2,070 orang pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas oleh para peserta khatam beramai-ramai manakala bacaan takhtim pula dibaca oleh para pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan kemudiannya doa khatam oleh Imam Tingkat II di Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Mudim Haji Abdul Latif bin Haji Saman.

Tetamu kehormat bersama para jemputan yang lain hadir di Majlis Khatam Al-Quran 69 kali di Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah.
Tetamu kehormat bersama para jemputan yang lain hadir di Majlis Khatam Al-Quran 69 kali di Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah.

Persembahan dikir marhaban juga menyerikan majlis tersebut yang dibawakan oleh para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam dan disusuli pula dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Imam Tingkat I di Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.

Menurut kenyataan KHEU, majlis ini merupakan sebagai pesambah istimewa untuk raja yang dikasihi dengan mengambil sukut suasana gembira dan penuh kesyukuran rakyat jelata dan seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam sama ada di dalam atau di luar negara yang meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda.

ARTIKEL YANG SAMA