Pesan makanan Cina secara online

Pesan makanan Cina secara online

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Perkhidmatan penghantaran makanan secara online, FoodPanda, kini bekerjasama dengan Hua Lai Muslim Restaurant and Catering bagi menghantar makanan Cina Islam yang paling asli di negara ini dan orang ramai boleh menikmati pelbagai makanan Cina Islam berkenaan bermula dari 1 Disember ini.

Makanan seperti Xin Jiang Spicy Chicken, Cina Lamb Ribs dan Secret Lamb Fry adalah antara masakan Cina yang diadakan bagi negara ini dan dengan itu orang ramai kini boleh memesan melalui melayari laman sesawang atau aplikasi FoodPanda Brunei.

Pengurus bagi Hua Lai Muslim Restaurant and Catering, Awang Abdullah bin Haji Omar yang berasal dari Henan China, ketika ditemui Media Permata memberitahu, mereka telah membuka restoran di Brunei sejak bulan Ogos lalu dan kerjasama dengan FoodPanda Brunei adalah peluang baik bagi mereka memperkenalkan lagi hidangan mereka yang unik itu.

Hua Lai Muslim Restaurant and Catering merupakan sebuah restoran makanan Islam yang berpusat di Guangzhou China, ditubuhkan sejak 30 tahun lalu dan telah mempraktikkan kehalalan dan mengutamakan kebersihan sejak penubuhannya lagi.

Pengurus Jualan dan Pemasaran FoodPanda Brunei, Nabil Ibrahim berkata, mereka juga bekerjasama dengan Fitwellness dan Cielo by Sky sebagai rakan pemasaran bagi hadiah bulanan dari 15 November lepas hingga 18 Disember dengan tema ‘Order and Win’.

Wakil dari FoodPanda Brunei, Hua Lai Restaurant and Catering dan Fitwellness bergambar bersama hadiah bulanan dan sijil perasmian mereka.
Wakil dari FoodPanda Brunei, Hua Lai Restaurant and Catering dan Fitwellness bergambar bersama hadiah bulanan dan sijil perasmian mereka.

Para pelanggan dikehendaki memesan mana-mana hidangan dari foodpanda.com.bn atau dari aplikasi mereka dengan menggunakan kod baucar HAPPYPANDA sebelum mereka daftar keluar (checkout), bagi melayakkan diri mereka dalam memenangi hadiah berkenaan.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan berupa jam tangan Polar M200 bernilai $219 bagi hadiah utama dari Fitwellness, manakala hadiah tempat kedua berupa produk-produk kecantikan dari Cielo by Sky dan tempat ketiga akan memenangi peranti elektronik tajaan FoodPanda sendiri.

Menurut Eksekutif Jualan Fitwellness, Awang Khairul Zainal, Fitwellness yang ditubuhkan pada Februari 2013 merupakan pengedar rasmi Polar dan pusat perkhidmatan untuk Brunei oleh Polar Electro Singapura pada bulan Jun 2015.

Manakala Cielo by Sky adalah syarikat online yang berasaskan Instagram yang menjual semula produk kecantikan yang mewah dengan harga yang berpatutan.

FoodPanda Brunei kini bekerjasama dengan 82 restoran dan rakan pemasaran pelbagai, termasuk kerjasama dengan Hua Lai Muslim Restaurant and Catering.

Mereka menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan secara online yang lebih berkesan dan mudah di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA