Pesanan Duta Indonesia sempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-70

Pesanan Duta Indonesia sempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-70

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Hubungan kerjasama dua hala di antara Republik Indonesia dan Brunei Darussalam semakin kukuh dan meluas dari semasa ke semasa, malah persahabatan dan perhubungan di antara rakyat kedua-dua buah negara semakin rapat dan lebih mendalam.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nurul Qomar dalam pesanannya sempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-70, juga menyatakan bahawa Indonesia sangat menghargai sokongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan kepada inisiatif Indonesia, Forum Demokrasi Bali (BDF) yang ditunjukkan dengan keberangkatan Baginda ke mesyuarat itu sejak yang pertama diadakan pada 2008.

Menurut Puan Yang Terutama, hubungan rapat di antara kedua-dua buah negara juga dapat dilihat dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis mengangkat sumpah Tuan Yang Terutama Joko Widodo dan Tuan Yang Terutama Jusuf Kalla sebagai presiden dan naib presiden baru Indonesia pada 20 Oktober 2014.

Ini ditambah lagi dengan lawatan negara Presiden Joko Widodo ke Brunei Darussalam pada 7-8 Februari 2015 dan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Indonesia pada 23-24 April 2015 bagi menghadiri acara memperingati Persidangan Asia-Afrika ke-60.

Dalam hal ini, Puan Yang Terutama melahirkan keyakinan bahawa persahabatan dan kerjasama di antara Indonesia dan Brunei Darussalam akan lebih erat, kukuh, dan meluas dalam semua peringkat dan aspek pada tahun-tahun mendatang.

Sempena Hari Kemerdekaan ke-70 Indonesia yang jatuh pada 17 Ogos, Puan Yang Terutama dalam pesanannya itu, telah mengongsikan kejayaan yang dicapai oleh negara mereka.

Menurut beliau, sepanjang 70 tahun kemerdekaan, Indonesia telah mencapai pembangunan yang signifikan meskipun berdepan pelbagai aspek cabaran, yang sebilangannya mengancam perpaduan kebangsaan seperti pergolakan politik, masalah sosial, bencana alam dan sebagainya.

Dari segi politik, tambah beliau, Indonesia secara beransur-ansur menjadi sebuah masyarakat awam demokratik, antara lainnya dengan melaksanakan sistem politik pelbagai parti dan, sejak 2004, menjalankan pilihan raya awam.

Dengan pelaksanaan sistem politik ini, katanya, Indonesia bangkit sebagai negara demokratik kedua terbesar di dunia selepas era reformasi pada penghujung 1990-an, ujarnya.

Puan Yang Terutama seterusnya berkata, di samping pembangunan politik, Indonesia juga merekodkan pencapaian luar biasa dalam sektor ekonomi.

Katanya, walaupun negara itu terjejas teruk oleh krisis ekonomi global pada akhir 1990-an, mereka berjaya pulih dan mencatat pertumbuhan ekonomi yang stabil pada tahun-tahun berikutnya.

Dari 2004 hingga 2010, negara itu merekodkan pertumbuhan 6-7 peratus setiap tahun, dan walaupun pertumbuhan ekonomi Indonesia perlahan pada 2014, ia terus berkembang sebanyak 5 peratus.

Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Indonesia merupakan negara pengeksport ke-27 terbesar di dunia pada tahun 2010, dan ekonomi Indonesia kukuh semasa krisis kewangan global pada 2012.

Dalam kesempatan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun juga, Puan Yang Terutama turut mengucapkan tahniah kepada Baginda Sultan dan rakyat Brunei.

Di akhir pesanannya, Puan Yang Terutama mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan senegara sempena Hari Kemerdekaan Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA