Pesara BMR bocor maklumat dipenjara

Pesara BMR bocor maklumat dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160414_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Seorang pesara Biro Mencegah Rasuah (BMR) cawangan Kuala Belait dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas disabit atas dakwaan membocorkan maklumat kepada orang yang sedang disiasat oleh biro, pada 2010.

Majistret Harnita Zelda Skinner menjatuhkan hukuman itu ke atas Munusamy Khanan Ponraj, yang merupakan Penolong Penyiasat Khas Gred III ketika itu.

Bagaimanapun, hukuman terhadap tertuduh ditangguhkan sementara menunggu rayuan yang akan dibuat oleh tertuduh ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Peguam Bela Ahmad Zakaria memohon untuk tertuduh dijatuhi hukuman bukan pemenjaraan ke atas kliennya namun ditolak Majistret Harnita yang telah mengambil kira hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin bahawa ia merupakan satu kesalahan yang serius untuk seorang pegawai kanan yang telah menyalahgunakan kedudukannya.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh tanpa kebenaran yang sah telah membocorkan maklumat kepada orang yang disiasat dengan memberitahunya bahawa dia adalah suspek dalam siasatan berkaitan dengan kes rasuah.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan pantai berdekatan Hotel Sea View, pada 9 Ogos 2010.

Majistret Harnita melanjutkan tempoh ikat jamin tertuduh sementara menunggu rayuan.

ARTIKEL YANG SAMA