Pesara maut dibaham buaya

Pesara maut dibaham buaya

LAHAD DATU, 30 Nov – Seorang bekas kakitangan Majlis Daerah Lahad Datu yang baru bersara pada September lepas, maut dibaham buaya dalam kejadian pada tengah malam Selasa di pelabuhan Industri Kluster Minyak Sawit (POIC) dekat sini.

Mayat Tigahari Madjami, 60, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bomba di sekitar lokasi kejadian kira-kira pukul 12.33 pagi Rabu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Mohd Afendi K Ramin dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira 12.07 tengah malam dan 10 anggota SAR bergegas ke tempat kejadian.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali ketika dihubungi Bernama berkata kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang menangkap ikan di pelabuhan POIC. Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Semporna dengan bantuan Majlis Daerah selepas dibedah siasat. Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. Sementara itu, bekas rakan sekerja mangsa, Zaini Jaukarin, 48, yang telah lama mengenali Tigahari, berkata rakannya itu merupakan seorang yang baik dan banyak membantunya ketika sama-sama berkhidmat di Majlis Daerah.

“Arwah memang seorang yang gemar menyelam dan memanah ikan di dalam laut,” katanya ketika dihubungi.

Zaini yang turut mempunyai pertalian saudara dengan mangsa berkata jenazah dihantar pulang ke kampung asal di Sungai Gajah, Semporna dan dikebumikan petang ini. – Bernama