Pesara polis pangkat rendah dirai

Pesara polis pangkat rendah dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Seramai 162 anggota pangkat rendah Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang bersara daripada perkhidmatan dalam tahun 2014 dan 2015 telah diraikan dalam Majlis Meraikan Ahli-Ahli Pangkat Rendah Yang Bersara Bagi Tahun 2014 dan 2015 yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada anggota yang bersara ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam serta datin.

Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy dalam ucapannya berkata, anggota yang bersara merupakan tunggak pasukan kerana siapa saja yang pernah berkhidmat hampir 30 tahun sebagai anggota Pasukan Polis Diraja Brunei mengatakan ‘rank file’ perlu diberikan bimbingan, perhatian dan dijaga kebajikan kerana siapalah pasukan tanpa ‘rank file’.

“Maka saya sebagai anak mantan ‘rank file’ Pasukan Polis Diraja Brunei amat bangga ke atas abiskita kerana tanpa mengenal lelah berbakti siang dan malam untuk menggerakkan pasukan ini dan menyokong penuh apa juga strategi-strategi pegawai-pegawai yang pernah memerintah abiskita.”

Pesuruhjaya Polis menyampaikan cenderahati kepada anggota yang bersara.
Pesuruhjaya Polis menyampaikan cenderahati kepada anggota yang bersara.

Beliau menyatakan bahawa ketaatan dan disiplin yang dimiliki oleh anggota yang bersara akan menjadi aset kepada pembangunan negara walaupun tidak menyumbang secara langsung kepada pasukan tetapi dicurahkan melalui berbagai-bagai kaedah dalam menegakkan syiar Islam dan menjadi contoh teladan kepada generasi baru sebagai benteng pertahanan daripada berlakunya gejala sosial dan kejahatan yang boleh menimpa rakyat negara ini dalam negara meniti era kemodenan dan bergabung dalam perkampungan global.

“Saya penuh berharap bahawa perkhidmatan abiskita akan menjadi satu pendorong dan pemangkin semangat bukan sahaja kepada ahli keluarga atau waris tetapi kepada semua generasi yang akan datang supaya akan sentiasa menabur bakti kepada negara ini bagi pembangunan ekonomi yang dinamik dan mempertahankan sistem politik yang sangat pro rakyat,” ujar beliau.

Majlis kemudian menyaksikan Pesuruhjaya Polis serta datin menyampaikan cenderahati kepada para anggota yang bersara bersama isteri mereka.

Juga hadir ialah Penolong Pesuruhjaya Polis, Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali, para pengarah dan timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah dan pegawai-pegawai PDB.

ARTIKEL YANG SAMA