Pesara polis temui anak damit dalam kebun

Pesara polis temui anak damit dalam kebun

SANDAKAN, 26 Jun (Bernama) – Seorang anak damit lelaki yang masih bertali pusat berlapik dengan kain tudung sutera warna kuning ditemui di kebun milik seorang pesara polis di Batu 32, Jalan Labuk di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Zabidi Md Zain berkata lelaki berusia 64 tahun itu pada mulanya terdengar tangisan anak damit di luar rumahnya pada pukul 9 malam.

Menurutnya apabila lelaki itu keluar dari rumah untuk mencari suara anak damit itu, beliau ternampak anjing peliharaannya sedang menggonggong sesuatu.

“Lelaki itu melihat secara dekat tempat di mana anjing tersebut meninggalkan benda yang digonggongnya dan mendapati seorang anak damit lelaki yang masih bertali pusat dan beruri yang dilapisi dengan kain tudung sutera kuning,” katanya.

Beliau berkata pesara tersebut terus membawa anak damit itu ke Hospital Beluran yang kemudian ditempatkan di Wad Kanak-kanak.