Pesara sedia kongsi ilmu tanam anggur

Pesara sedia kongsi ilmu tanam anggur

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Setiap hujung minggu pasti ada sahaja pengunjung ke rumah Hamdan Ahmad Sapli di Kampung Tersusun, Batu 10, Lekir, Perak untuk melihat dan merasai sendiri kemanisan buah anggur yang subur tumbuh di laman rumahnya. Pesara tentera laut berusia 47 tahun itu berkata sejak pokok anggurnya mengeluarkan buah pada Jun 2010, orang ramai tidak putus-putus datang ke rumahnya termasuk pelancong asing dari negara sejauh New Zealand.

Apa yang menarik ialah Hamdan tidak mengenakan bayaran kepada pengunjung dan tidak lokek berkongsi ilmu berkebun dengan mereka.

“Kebanyakan pelawat datang untuk melihat dan merasai pengalaman memetik buah anggur dan ada juga yang berminat untuk melihat pokok herba, ulam-ulaman dan sayur-sayuran yang saya tanam di sebelah rumah,” katanya.

Selain pokok anggur, epal dan buah tin, Hamdan turut menanam lebih daripada 28 jenis herba dan sayuran antaranya pegaga, daun salam, pokok kesum, cabang tiga, pandan, limau purut, sireh dan sebagainya.

Pesara yang berasal dari Kampung Lengkuas, Parit itu berkata beliau sedia memberi tunjuk ajar secara percuma kepada mereka yang berminat mempelajari teknik tanam sayur berkonsepkan ‘kitchen garden’ (kebun).

Hamdan menunjukkan salah satu pokok anggur yang ditanamnya di depan rumah beliau di Kampung Tersusun, Batu 10, Lekir di Perak.
Hamdan menunjukkan salah satu pokok anggur yang ditanamnya di depan rumah beliau di Kampung Tersusun, Batu 10, Lekir di Perak.

Menurutnya, berkebun boleh menjadi satu terapi kesihatan minda yang bagus diamalkan oleh semua lapisan masyarakat.

“Bagi saya tanaman yang menghijau mampu memberi satu ketenangan, malah saya dan keluarga kerap mengamalkan aktiviti bersantai dan minum petang di kebun,”  katanya.

Beliau berkata mereka yang berminat untuk mempelajari teknik berkebun boleh melawat akaun Facebooknya. – Bernama