Pesara tentera aset penting negara

Pesara tentera aset penting negara

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Negara Brunei Darussalam sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-29 Gabungan Persatuan Veteran Tentera Negara-negara ASEAN (VECONAC) & Perhimpunan Agung ke-16 yang bermula hari ini.

Mesyuarat selama empat hari yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong itu dirasmikan oleh Pemangku Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Dalam ucapannya, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz berkata, dengan keahlian lebih daripada lima juta serta menyumbangkan khidmat cemerlang lebih dari tiga dekad, VECONAC setentunya menjadi salah satu pertubuhan terkemuka di rantau ini.

Katanya, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha mencapai Wawasan Negara 2035 iaitu menyediakan kualiti hidup yang tinggi kepada rakyatnya, terus komited terhadap kebajikan bekas-bekas tentera.

Malah Baginda Sultan selaku Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sangat prihatin terhadap hal ehwal bekas tentera.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bergambar ramai semasa mesyuarat tersebut.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bergambar ramai semasa mesyuarat tersebut.

“Pada Ogos tahun ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan berangkat ke majlis perjumpaan dengan para pegawai ABDB yang sudah bersara yang dianjurkan oleh Persatuan Bekas Perajurit.

“Dengan diterajui oleh perajurit-perajurit veteran yang pernah memberi begitu banyak impak kepada perkembangan pertahanan negara, Persatuan Bekas Perajurit, yang ditubuhkan dalam tahun 1992, terus berperanan aktif dan adalah penyumbang bermakna kepada pembinaan negara dan kepaduan sosial,” ujarnya.

Menurut Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz, pengalaman, pengetahuan dan kemahiran mereka yang luas menjadikan mereka aset penting kepada negara walaupun selepas persaraan.

“Rasa tanggung jawab mereka dalam melindungi negara lama bertahan meskipun selepas perkhidmatan aktif mereka, dan ini dimanfaatkan ke arah menyokong kepentingan disiplin, patriotisme dan kesetiaan kepada generasi-generasi lebih muda.

“Keanggotaan mereka dalam VECONAC, adalah sangat penting sebagai kemudahan mendapatkan banyak pandangan, satu asas untuk mewujudkan hubungan, berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dan sebagai saluran untuk meluaskan sumbangan mereka dalam memperjuangkan matlamat mereka.”

Katanya lagi, sejak sekian lama, jejak kerja dan inisiatif VECONAC telah banyak membantu orang ramai. Kementerian Pertahanan dan ABDB mengucapkan tahniah dan berharap semua pencapaian mendorong inspirasi untuk terus berinovatif dan berkembang.

Dalam majlis itu sembilan orang ahli VECONAC dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam dianugerahkan Pingat Penghormatan sebagai menghargai sumbangan bakti mereka kepada kestabilan dan keamanan di rantau ASEAN yang telah memberi sumbangan positif yang amat besar kepada kesejahteraan dan kehidupan veteran tentera serantau.

Antara penerima itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith. Penyampaian pingat tersebut disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah Presiden VECONAC, Lt. Jen. Hsan Oo dan Presiden Persatuan Bekas Perajurit Brunei Darussalam, Yang DimuliakanPehin Datu Paduka Raja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari bin Ahmad.

ARTIKEL YANG SAMA