PESATU anjur ceramah sempena Maulidur Rasul

PESATU anjur ceramah sempena Maulidur Rasul

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 22 Jan – Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) dengan kerjasama Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong, pagi tadi, telah mengadakan Majlis Ceramah sempena Maulidur Rasul yang berlangsung di Bangunan PESATU, Jalan Kampung Lubok Pulau.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Tanjong Maya, Haji Abdul Wahab bin Apong dan isteri.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking bersama isteri.

Lebih 40 orang ahli PESATU dan keluarga hadir bagi mendengar ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Haji Anwari bin Haji Rawee.

Beliau antara lain mengongsikan mengenai kisah sejarah Rasullullah S.A.W dalam menyampaikan Syiar Islam dengan tolong-menolong dan bersatu-padu.

Haji Abdul Wahab dan Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman ketika menghadiri ceramah tersebut.
Haji Abdul Wahab dan Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman ketika menghadiri ceramah tersebut.
Haji Anwari ketika menyampaikan ceramah.
Haji Anwari ketika menyampaikan ceramah.

Yang Di-Pertua PESATU, Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, tujuan majlis diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli PESATU dengan para pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah di samping dapat mendalami pengajaran-pengajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W yang disampaikan melalui ceramah.

Majlis ini juga merupakan salah satu aktiviti tahunan PESATU yang sering kali diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul setiap tahun.

ARTIKEL YANG SAMA