Pesawat asing ceroboh ruang udara Indonesia

Pesawat asing ceroboh ruang udara Indonesia

BALIKPAPAN, 11 Nov (Agensi) – Dua jet pejuang jenis Sukhoi SU-27 SKM milik tentera udara Indonesia memintas sebuah pesawat asing yang menceroboh ruang udara negara itu dekat sini kelmarin.

Jurucakap tentera, Andi Gunawan berkata, pesawat satu enjin jenis Cessna itu didapati menceroboh ruang udara Indonesia berhampiran sempadan Malaysia-Filipina.

Katanya, pesawat kecil itu kemudiannya dipaksa mendarat di lapangan terbang Juata di Tarakan, Kalimantan Utara.

“Pesawat ini dikendalikan seorang juruterbang tentera Amerika Syarikat (AS), James Patrick Murphy yang sedang bercuti.

“Juruterbang ini kami tahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, Murphy memberitahu, dia terbang mengikut laluan dari Hawaii, Filipina dan menuju ke Singapura.

“Pemeriksaan mendapati Murphy tidak mempunyai kebenaran untuk terbang dalam wilayah Indonesia,” jelasnya.

Menurutnya, Murphy kini sedang berurusan dengan pihak Kedutaan AS bagi mendapatkan permit penerbangannya sebelum dibenarkan terbang semula.