Pesawat berpatah balik terkena cahaya laser

Pesawat berpatah balik terkena cahaya laser

LONDON, 15 Feb – Satu penerbangan ke New York terpaksa berpatah balik sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow Britain selepas cahaya laser dipancar ke arahnya, kata polis semalam.

Polis bertindak sebaik menerima laporan cahaya laser dipancar ke arah sebuah pesawat komersial yang sudah berlepas di Heathrow pada malam Ahad, kata seorang jurucakap. Penerbangan Virgin Atlantic dari London ke New York itu meneruskan perjalanan melalui Ireland sebelum meminta kebenaran untuk berpatah balik, menurut radar penerbangan.

Seorang kru penerbangan memberitahu pegawai kawalan trafik udara salah seorang juruterbang mengalami masalah kesihatan selepas insiden laser sebaik berlepas, menurut rakaman radio penerbangan.

Cahaya laser yang dipancarkan ke arah pesawat di Britain bukanlah sesuatu yang luar biasa, dengan ratusan kejadian dicatatkan setiap tahun, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Seorang lelaki ditahan awal bulan ini selepas memancarkan cahaya laser hijau ke dalam kokpit pesawat yang sedang melintas di Kent dekat tenggara England, menurut polis.Sementara itu Virgin Atlantic masih gagal dihubungi untuk mengulas lanjut insiden berkenaan. – AFP

pg16_160216_c

ARTIKEL YANG SAMA