Pesawat EgyptAir terhempas di Mediterranean

Pesawat EgyptAir terhempas di Mediterranean

KAHERAH, 19 Mei (AFP) – Sebuah pesawat EgyptAir dari Paris ke Kaherah terhempas di Mediterranean hari ini dengan seramai 66 orang di dalamnya, mencetuskan satu siasatan sama ada ia kerana kerosakan mekanikal atau diserang.

Tiada laporan segera penemuan sebarang serpihan di kawasan laut antara pulau-pulau Greek dan pesisir pantai Mesir di mana pesawat itu hilang daripada skrin radar.

Namun Presiden Perancis Francois Hollande mengesahkan bahawa pesawat itu sudah ‘terhempas’ dan Pejabat Pendakwa Raya Paris mengatakan jabatan kemalangannya sudah memulakan siasatan.

Manakala Menteri Aviasi Mesir Sherif Fathy mengatakan dia tidak menidakkan sama ada ia akibat serangan pengganas atau masalah teknikal. “Saya tidak menafikan hipotesis satu serangan pengganas atau satu masalah berupa teknikal. Ia terlalu awal,” katanya memberitahu satu sidang media, menambah bahawa belum ada bangkai kapal terbang berkenaan ditemui.

Pesawat Airbus A320 itu, jatuh 22,000 kaki dan melencong tiba-tiba dua kali di ruang udara Mesir sebelum ia hilang daripada skrin radar, Menteri Pertahanan Greece Panos Kammenos memberitahu satu sidang media.

9616U

Mesir dan Greece mengatakan masing-masing sudah menghantar pesawat dan kapal tentera laut dalam misi mencari dan mereka dijangka disertai oleh pasukan Perancis.

Seramai 15 warga Perancis adalah antara 26 penumpang warga asing di dalam pesawat itu, yang juga termasuklah seorang warga Britain dan seorang Kanada.

EgyptAir mengatakan ia hilang hubungan dengan pesawat itu kira-kira 280km ke pesisir laut utara Mesir. Satu sumber aviasi Greek mengatakan pesawat itu hilang daripada radar Greece pada jam 0029 GMT.

“Ia terhempas sekitar 130 batu nautika di pesisir Pulau Karpathos,” sumber memberitahu AFP, merujuk kepada sebuah pulau di timur laut Crete.

Ketua penerbangan awam Greece, Constantinos Litzerakos mengatakan juruterbang tidak menyebut sebarang masalah dalam hubungan terakhir sebelum pesawat hilang.

“Pengawal udara menghubungi juruterbang pada ketinggian 37,000 kaki berhampiran Athens…dia tidak menyebut sebarang masalah,” Litzerakos memberitahu TV Antenna Greece.

“Kami menjejaki seluruh proses daripada kemasukan pesawat (ke dalam ruang udara Greek) sehinggalah ia keluar, ia tidak nampak melencong sama sekali daripada koordinat yang kami berikan,” katanya.

Pengawal pantai Greek atau tentera tidak dapat mengesahkan laporan bahawa sebuah kapal yang lalu melihat ‘satu gumpalan api di langit.’

Menurut ketua penerbangan awam itu, jika terdapat letupan, sebarang serpihan akan kelihatan di kawasan luas.

Manakala Timbalan Presiden EgyptAir Holding Company, Ahmed Adel mengatakan tidak ada ‘panggilan kecemasan’ sebelum pesawat itu hilang.

Perdana Menteri Mesir Sharif Ismail memberitahu wartawan “kita tidak boleh mengesahkan apa-apa lagi,” apabila ditanya jika pesawat itu diserang.

Penumpang termasuklah dua orang warga Iraq dan seorang warganegara dari setiap negara Algeria, Belgium, Chad, Portugal, Arab Saudi dan Sudan serta 30 orang warga Mesir, menurut syarikat penerbangan itu. Mereka termasuklah seorang budak dan dua orang anak damit.

Tujuh orang anggota krew dan tiga orang pengawal keselamatan juga berada di dalamnya.