Pesawat langgar dron di Heathrow

Pesawat langgar dron di Heathrow

LONDON, 18 April (AFP) – Pesawat British Airways melanggar objek dipercayai dron ketika cuba mendarat di Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di Eropah.

Siasatan dilancarkan berhubung kejadian itu, yang menyusul beberapa kes hampir berlanggar membabitkan dron dan dipercayai kes pertama pertembungan itu di Britain.

Pesawat itu, Airbus A320 dengan 132 penumpang dan lima kru, cuba untuk mendarat di Heathrow ketika kejadian berlaku.

“Juruterbang dalam penerbangan untuk mendarat di Lapangan Terbang Heathrow dari Geneva melaporkan kepada polis beliau percaya dron melanggar pesawat itu.

“Ia mendarat di Terminal Lima dengan selamat. Objek itu, dipercayai dron, melanggar bahagian depan pesawat,” kata jurucakap Polis Metropolitan London.

Jurucakap daripada syarikat penerbangan berkata, pesawat itu diperiksa selepas mendarat dan dibenarkan meneruskan penerbangan seterusnya.

“Keselamatan adalah keutamaan kami dan kami akan memberikan segala bantuan kepada polis,” kata jurucakapnya Agensi keselamatan udara, Lembaga Airprox United Kingdom, berkata bulan lalu ada 23 kejadian hampir terlanggar antara dron dan pesawat dalam masa enam bulan antara April dan Oktober tahun lalu.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam berkata ia adalah “tidak boleh diterima” untuk menerbangkan pesawat dron berhampiran dengan lapangan terbang dan sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dihadapi hukuman penjara.

Di bawah undang-undang British, pesawat dron tidak boleh diterbangkan berhampiran pesawat, helikopter dan lapangan terbang dan mesti berada di bawah 400 kaki (122 meter).