Pesawat MAS mendarat cemas di Melbourne

Pesawat MAS mendarat cemas di Melbourne

MELBOURNE, 12 Jun (Bernama) – Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) melakukan pendaratan kecemasan di lapangan terbang Melbourne setelah menerima amaran palsu daripada sistemnya mengenai kebakaran di bahagian enjin.

Seorang jurucakap Biro Keselamatan Pengangkutan Australia memberitahu ABC News bahawa pemeriksaan yang dilakukan terhadap pesawat jenis Airbus 330 itu tidak menemui bukti ia mengalami sebarang kebakaran.

Katanya, ketika dalam penerbangan, sistem pesawat itu menunjukkan berlaku kebakaran di bahagian enjinnya.

Penerbangan MH148 dari Melbourne ke Kuala Lumpur itu membawa kira-kira 300 penumpang dan anak kapal.

Seorang jurucakap bomba berkata pesawat itu membuang bahan bakarnya sebelum melakukan pendaratan kecemasan pada kira-kira pukul 3 petang.

Pesawat penumpang A330 Malaysia Airlines selepas membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne pada 12 Jun 2015. – AFP
Pesawat penumpang A330 Malaysia Airlines selepas membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne pada 12 Jun 2015. – AFP