Pesawat pencari hilang bersama 9 kru

Pesawat pencari hilang bersama 9 kru

HANOI, Vietnam, 17 Jun (AP) – Para penyelamat Vietnam telah menemui beberapa serpihan kepunyaan sebuah pesawat yang hilang bersama sembilan orang di dalamnya ketika dalam misi untuk mencari juruterbang dari jet pejuang lain yang juga terhempas, kata pihak tentera hari ini.

Serpihan itu termasuk serpihan-serpihan yang membawa logo pesawat yang dicari itu, tayar, kerusi dan barangan peribadi milik anggota kru yang ditemui 20 batu nautika (23 batu atau 37km) tenggara Pulau Bach Long Vi dan tiga nautika batu timur sempadan pembatasan antara Vietnam dan China di Teluk Tonkin, kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

Pesawat itu putus hubungan dengan pusat kawalan awal petang kelmarin, kira-kira 44 nautika batu (81km) barat data Pulau Bach Long Vi, luar pantai bandar pelabuhan utara Hai Phong.

Sementara itu, akhbar online VnExpress memetik Mejar Jeneral Nguyen Quang Dam, komander polis maritim, sebagai berkata cuaca buruk mungkin menjadi punca nahas pesawat itu. Kata Dam lagi, kru telah diminta untuk perlahan-lahan turun pada altitud rendah apabila mengalami cuaca buruk yang tidak dijangkakan.

Thanh Nien memetik ramalan kaji cuaca Nguyen Dinh Thuat sebagai berkata bahawa berlakunya hujan dan angin kencang pada ketika pesawat udara itu putus hubungan.

Kenyataan kementerian berkata China telah menghantar sebuah kapal penyelamat dan dua kapal pengawal pantai untuk menyertai operasi pencarian dan menyelamat.

Sembilan orang di dalamnya merupakan antara 1,500 kakitangan yang dihantar untuk mencari juruterbang jet pejuang Sukhoi Su-30 MK2 buatan Rusia yang terhempas pada Selasa semasa latihan penerbangan.

Salah seorang juruterbang dari jet itu telah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan pada Rabu.

Akhbar Ho Chi Minh City melaporkan bahawa pencarian pesawat telah ditangguhkan lewat pagi Jumaat akibat cuaca buruk.

Para pegawai tidak dapat dihubungi untuk memberi komen hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA