Pesawat penum...

Pesawat penumpang lakukan pendaratan kecemasan

SYDNEY, 17 Mac – Sebuah kapal terbang penumpang mendarat dengan selamat hari ini selepas salah satu daripada dua kipasnya terjatuh dalam satu kecemasan luar biasa tatkala ia menghampiri Lapangan Terbang Sydney.

Krew pesawat Regional Express Airlines melaporkan kipas enjin kanan terpisah daripada kapal terbang Saab 340 20 kilometer dari barat daya lapangan terbang, kata jurucakap Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam Peter Gibson.

Penerbangan 768 sedang membawa 16 penumpang dan tiga krew dari Albury, 500 kilometer dari barat daya Sydney. Penyiasat kemalangan telah merayu kepada sesiapa yang menemui bahagian kipas di pinggir bandar Sydney supaya tampil ke depan untuk membantu menjelaskan apa yang berlaku, kata Gibson.

“Bukan sahaja kipas, tetapi batang kipas yang menyambungkannya dengan enjin juga telah tercabut dan pemasang telah terjatuh ke tanah,” kata Gibson.

“Ia adalah amat luar biasa. Ia amat jarang berlaku,” tambah beliau. “Mereka bernasib baik.”

Pesawat penumpang Regional Express Airlines yang melakukan pendaratan kecemasan itu. – AP
Pesawat penumpang Regional Express Airlines yang melakukan pendaratan kecemasan itu. – AP

Bahagian yang tercabut jelasnya tidak menyebabkan kerosakan lanjut kepada kapal terbang.

Seorang daripada dua juruterbang membuat panggilan pan pan. Ia menandakan situasi genting yang tidak mengancam nyawa tetapi memerlukan bantuan dari darat. Pan pan menandakan keadaan kecemasan yang kurang serius berbanding panggilan kecemasan melalui radio.

“Kipas kami tercabut tetapi kawalan biasa. Masih dapat terbang,” kata juruterbang dalam satu panggilan radio yang disiarkan oleh media.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Sydney itu berkata dalam satu kenyataan bahawa krew telah mengikut prosedur operasi standard dan kapal terbang telah mendarat “seperti biasa dan tepat pada masanya.” – AP