Pesawat RB berpatah balik ke Manila

Pesawat RB berpatah balik ke Manila

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Sebuah pesawat Royal Brunei (RB) penerbangan BI684 yang dalam penerbangan ke Brunei, terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Manila apabila salah sebuah enjinnya mengalami ‘abnormal reading’ sejurus berlepas pada jam 3:05 (waktu tempatan) petang ini.

Sebagai langkah keselamatan dan selaras dengan prosedur operasi standard, juruterbang pesawat berkenaan memutuskan untuk berpatah balik ke Manila bagi membolehkan pemeriksaan teknikal dijalankan, demikian menurut RB dalam satu kenyataan malam ini.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner dengan enjin Rolls Royce Trent 1000, berjaya mendarat dengan selamat di NAIA dan kesemua 152 penumpangnya keluar ke terminal dengan selamat.

Menurut RB, sejumlah penumpang telah diterbangkan ke destinasi terakhir mereka manakala kesemua penumpang yang lain disediakan penginapan hotel untuk bermalam.

Menurut portal berita Inquirer.net, satu laporan daripada pihak berkuasa Penerbangan Awam Filipina berkata, juruterbang pesawat tersebut telah memaklumkan kepada menara kawalan bahawa enjin sebelah kiri pesawat tersebut berhenti selama kira-kira 18 minit setelah berlepas dari NAIA.

RB Airlines

Pesawat tersebut berada pada kedudukan 105 batu ke Barat Laut Manila apabila juruterbangnya membuat panggilan kecemasan.

Portal berita Inquirer.net memetik seorang penumpang pesawat berkenaan, Epi Pineda, 41, sebagai berkata bahawa beliau tidak menyedari akan seriusnya masalah berkenaan sehinggalah pesawat itu mendarat semula.

“Juruterbang hanya memberitahu yang kami terpaksa berpatah balik ke Manila kerana masalah teknikal pada pesawat berkenaan,” katanya.

Sebaik sahaja mendarat, krew Royal Brunei segera memeriksa enjin pesawat.