Pesawat SIA terbakar, semua selamat

Pesawat SIA terbakar, semua selamat

SINGAPURA, 27 Jun (Bernama) – Singapore Airlines (SIA) akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa yang menjalankan penyiasatan terhadap Penerbangan SQ368, yang mengalami kebakaran enjin awal pagi ini.

Menurut catatan dalam laman Facebooknya hari ini, SIA berkata pesawat Boeing 777-300ER yang sedang dalam perjalanan dari Singapura ke Milan, Itali itu, berpatah balik ke sini apabila keluar mesej amaran berkaitan minyak enjinnya.

Menurut syarikat penerbangan itu, enjin kanan pesawat berkenaan terbakar selepas ia mendarat di Lapangan Terbang Changi pada kira-kira 6.50 pagi.

Kebakaran itu berjaya dipadam perkhidmatan kecemasan lapangan terbang dan kesemua 222 penumpang serta 19 anak kapal pesawat berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Penumpang turun menggunakan tangga dan dibawa dengan bas ke bangunan terminal. Penumpang terbabit akan dipindahkan ke pesawat lain, yang dijangka berlepas ke Milan lewat hari ini,” kata SIA.

Sebuah pesawat SIA 777-300ER kelihatan di landasan dengan sayapnya yang rentung akibat kebakaran enjin semasa melakukan pendaratan cemas, ditunda ke tarmac di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura. – AFP
Sebuah pesawat SIA 777-300ER kelihatan di landasan dengan sayapnya yang rentung akibat kebakaran enjin semasa melakukan pendaratan cemas, ditunda ke tarmac di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura. – AFP

Memetik maklumat penumpang, Channel NewsAsia melaporkan bahawa pesawat itu berpatah balik kira-kira dua jam setengah setelah berlepas kerana mengalami kebocoran tangki.

Lee Bee Yee, yang menaiki pesawat itu bersama-sama suaminya, berkata terdapat bau kuat bahan bakar semasa dalam penerbangan.

“Juruterbang berkata beliau akan berpatah balik kerana enjin sebelah kanan mengalami kebocoran minyak. Menurut kapten itu, mereka tidak boleh menghidupkan enjin berkenaan bagi mengelak pesawat itu daripada bergegar. Dan mereka tidak boleh terus terbang dalam keadaan begitu ke Milan. Sebab itulah mereka berpatah balik..

“Kami tidur dan tidak berfikir banyak mengenainya. Selepas pesawat itu mendarat di Singapura, penumpang bertepuk gembira. Selepas itu, ada percikan api dan kemudian datang ‘gumpalan besar api’  dari sebelah kanan pesawat,” katanya seperti dipetik Channel NewsAsia.

ARTIKEL YANG SAMA