Pesawat Su-24 Rusia ditembak jatuh

Pesawat Su-24 Rusia ditembak jatuh

ANKARA, 24 Nov (AFP) – Jet pejuang Turki menembak jatuh sebuah pesawat pejuang asing berdekatan sempadan Syria selepas ia menceroboh ruang angkasa negara itu.

Tentera Turki berkata, pesawat itu telah melanggar ruang udara Turki 10 kali dalam tempoh lima minit dan telah ditembak jatuh oleh dua pesawat Turki F-16. Walau bagaimanapun Rusia menegaskan bahawa pesawat itu berada di dalam ruang udara Syria.

Pejabat presiden Turki berkata dalam satu kenyataan bahawa pesawat itu ialah pesawat pejuang Rusia Su-24, manakala media Turki berkata seorang juruterbang telah ditawan oleh pasukan pemberontak di Syria. Moscow mengesahkan bahawa salah satu daripada pesawatnya telah ditembak jatuh, tetapi berkata nasib juruterbang masih tidak jelas.

“Pesawat pejuang Rusia Su-24 telah ditembak jatuh di bawah peraturan perjanjian kerana melanggar ruang udara Turki dengan amaran,” kata Presiden Turki.

Sebelum itu, pesawat tempur F16 Turki memberi amaran kepada pesawat yang menceroboh ruang angkasa sebelum menembaknya jatuh. Russia pula mengesahkan bahawa salah satu daripada pesawatnya telah ditembak jatuh.

Gambar fail 3 Oktober 2015 menunjukkan pesawat pejuang Su-24 Rusia berlepas dari pangkalan udara Hmeimim di Latakia, Syria. – AFP
Gambar fail 3 Oktober 2015 menunjukkan pesawat pejuang Su-24 Rusia berlepas dari pangkalan udara Hmeimim di Latakia, Syria. – AFP

“Mungkin akibat tembakan, sebuah pesawat Su-24 daripada tentera Rusia terhempas di Republik Arab Syria,” agensi berita Rusia memetik Kementerian Pertahanan sebagai berkata.

Gambar yang disiarkan stesen penyiaran swasta, Haberturk TV menunjukkan bagaimana pesawat terbabit terbakar dan menjunam ke kawasan belukar dengan asap yang tebal.

Pesawat berkenaan jatuh di kawasan yang dikenali penduduk Turki sebagai ‘Turkmen Mountain’ di utara Syria berdekatan sempadan Turki. Gambar yang berlainan dari Agensi Berita Anadolu Turki menunjukkan dua juruterbang pesawat berjaya keluar dari pesawat dan menggunakan payung terjun sebelum terhempas.

Russia sedang meningkatkan serangan udaranya ke atas Syria bagi mempertahankan pentadbiran Presiden Bashar al-Assad.

Setakat ini, Kementerian Pertahanan Russia tidak dapat dihubungi.

ARTIKEL YANG SAMA