Pesawat tentera terhempas, dua juruterbang maut

Pesawat tentera terhempas, dua juruterbang maut

JAKARTA, 20 Dis (AFP) – Dua juruterbang terbunuh hari ini apabila sebuah pesawat tentera Indonesia yang menyertai pertunjukan udara terhempas di bahagian tengah Jawa, lapor media tempatan.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah kapal terbang pejuang berlegar-legar di udara di atas Yogyakarta sebelum menjunam ke darat dengan pantas dan lenyap daripada pandangan.

Beberapa saat kemudian, kepulan asap tebal menjulang naik, tatkala orang dalam video kedengaran menjerit.

Jurucakap tentera udara Indonesia, Dwi Badarmanto mengesahkan pesawat pejuang T-50 Golden Eagle telah terhempas ketika satu demonstrasi.

Anggota tentera berpakaian biasa berkawal di kawasan lokasi pesawat terhempas di Yogyakarta, Indonesia, pada 20 Disember 2015.
Anggota tentera berpakaian biasa berkawal di kawasan lokasi pesawat terhempas di Yogyakarta, Indonesia, pada 20 Disember 2015.

“Dua juruterbang terkorban,” beritahunya kepada laman sesawang berita Detik.

Masih tidak jelas sama ada terdapat sesiapa di darat yang terbunuh atau cedera.

Satu pertunjukan tentera udara telah berlangsung pada hujung minggu ini di Yogyakarta.

Pada Jun, sebuah kapal terbang Hercules C-130 terhempas di kawasan perumahan Medan, bandar terbesar di pulau Sumatra, membunuh 142 orang dan mengakibatkan kemusnahan yang berleluasa.