Pesawat terhempas akibat kehabisan bahan api

Pesawat terhempas akibat kehabisan bahan api

MEDELLIN, Colombia, 1 Dis – Juruterbang pesawat sewa khas yang membawa pasukan bola sepak dari Brazil memberitahu dengan penuh kekalutan menggunakan radio dia telah kehabisan bahan api sebelum terhempas di pinggir bukit berdekatan Medellin dengan 77 penumpang di dalam, menurut rakaman audio radio.

Butiran-butiran nahas pesawat itu tiba kelmarin apabila para peminat berkabung akan kehilangan kesemua kecuali enam penumpang pesawat, termasuk pasukan bola sepak Chapecoense.

Pita audio yang disiarkan oleh media Colombia menunjukkan bahawa juruterbang penerbangan LAMIA BAe146 menghubungi menara kawalan pada malam Isnin meminta bagi keutamaan pendaratan disebabkan masalah minyak.

Operator memperakui permintaan itu namun memberitahu juruterbang berkenaan, Miguel Quiroga dia perlu menunggu tujuh minit sebelum membuat pendaratan.

“Saya mempunyai sebuah pesawat di bawah anda untuk mendarat terlebih dahulu… Berapa banyak masa anda boleh kekal di udara, Lima-Mike-India?”

Pesawat itu terhempas akibat kehabisan bahan api menurut audio rakaman radio perbualan di antara pilot dan operator menara kawalan lapangan terbang. – AFP
Pesawat itu terhempas akibat kehabisan bahan api menurut audio rakaman radio perbualan di antara pilot dan operator menara kawalan lapangan terbang. – AFP

“Kami mempunyai kecemasan bahan api, itu sebabnya kenapa saya meminta pendaratan segera, noktah.”

Sejurus kemudian: “Saya meminta bagi penurunan serta-merta Lima-Mike-India.”

Jangka masa tidak begitu jelas namun sejurus selepas itu juruterbang berkenaan menghubungi lagi: “Puan, Lima-Mike-India 2933 mempunyai masalah total, elektrik tidak berfungsi, tanpa bahan api.”

Operator membalas: “Landasan kini kosong dan bersedia bagi cuaca hujan di landasan Lima-Mike-India 2933. Pihak bomba dimaklumkan.”

Juruterbang itu kedengaran meminta: “Vektor, puan, vektor ke landasan.”Vektor adalah istilah bagi perkhidmatan pandu arah yang disediakan kepada pesawat oleh kawalan trafik.

Operator kedengaran memberikannya hala tuju, dan menanyakan altitudnya.

“Sembilan ribu kaki, puan. Vektor! Vektor!”

Itulah kata-kata terakhir Quiroga kepada menara kawalan.

Agensi Penerbangan Sivil Colombia berkata urutan masa pita tersebut “tidak tepat,” dan tidak memberikan ulasan terhadap kandungan pita tersebut.

Namun ketua keselamatan agensi udara, Freddy Bonilla, mengesahkan pada satu sidang media bahawa pesawat tersebut kehabisan bahan api ketika pesawat itu terhempas.

Bonilla berkata undang-undang antarabangsa memerlukan setiap pesawat untuk mengekalkan bahan api dalam rizab dan pesawat LAMIA gagal untuk berbuat sedemikian.

“Kotak hitam pesawat tersebut telah berjaya didapatkan kembali dan dalam keadaan sempurna,” ujar pengarah Penerbangan Sivil Alfedo Bocanegra, yang menambah bagaimanapun ia memerlukan para penyiasat sekurang-kurangnya enam bulan untuk mencapai satu kesimpulan mengenai punca nahas tersebut. – AFP