Pesawat terhempas ragut 3 jiwa

Pesawat terhempas ragut 3 jiwa

TOKYO, 26 Julai (AFP) – Tiga orang terbunuh hari ini apabila sebuah pesawat kecil terhempas di pinggir bandar Tokyo sejurus selepas berlepas, menurut polis, mengakibatkan rumah berhampiran dan kereta terbakar serta serpihan bangkai pesawat bertebaran di kawasan kediaman itu.

Pesawat udara berkipas enjin tunggal itu bersama juruterbang berusia 36 tahun serta empat penumpang di dalamnya terhempas pada sekitar 11 pagi (0200 GMT) sejurus berlepas dari lapangan terbang Chofu di pinggir bandar Jepun, lapor penyiaran awam NHK.

“Dua orang daripada pesawat udara itu disahkan mati dan seorang dipercayai penduduk tempatan juga mati,” menurut jurucakap Jabatan Polis Metropolitan Tokyo memberitahu AFP.

“Tiga yang lain daripada pesawat udara itu dan dua yang lain di daratan mengalami kecederaan. Keadaan mereka masih belum diketahui.”

Laporan media tempatan mengatakan pada awalnya, dua lelaki, termasuk pilot, dan seorang wanita di daratan terbunuh dalam nahas mengerikan itu.

Ahli bomba (kiri) memeriksa sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran yang disebabkan selepas pesawat ringan terhempas ke kawasan kediaman itu di Tokyo pada 26 Julai. – AFP
Ahli bomba (kiri) memeriksa sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran yang disebabkan selepas pesawat ringan terhempas ke kawasan kediaman itu di Tokyo pada 26 Julai. – AFP

Jurugambar AFP di tempat kejadian menyaksikan para penyelamat mengejarkan dua mangsa ke kereta ambulans dalam usungan yang bertutup dengan serpihan fiuslaj yang bertebaran Piper PA-46 berhampirannya.

Sekitar tiga buah rumah dan dua kenderaan terbakar di daerah kediaman Chofu hanya kira-kira 400 meter dari lapangan terbang.

Nahas itu juga memusnahkan atap beberapa buah rumah berhampiran, sementara fiuslaj pesawat terbalik ke bawah di tempat runtuhan sebuah rumah.

“Pada mulanya saya fikir sebuah trak besar terhempas ke rumah jiran itu ketika saya mendengar gegaran dan kemudian saya melihat asap tebal,” menurut seorang saksi wanita memberitahu AFP.

Rakaman televisyen menunjukkan ahli bomba bergelut memadam api. Pesawat itu terhempas di sebuah kawasan berhampiran sebuah sekolah, stadium sukan dan plaza beli-belah.

“Saya merasa ia terbang dengan rendah dan kemudian saya mendengar satu dentuman,” menurut penduduk tempatan yang menyaksikan hempasan itu memberitahu NHK.

Pesawat itu sedang menuju ke pulau Izuoshima di Pasifik kira-kira 100km selatan tengah Tokyo bagi penerbangan lawatan sehari, menurut media tempatan.

Seorang pegawai di Nippon Aerotech, pemilik pesawat itu, meminta maaf atas nahas tersebut dan memberitahu para wartawan bahawa punca kemalangan masih lagi disiasat.

Para penumpang mungkin juruterbang dalam latihan, menurut media tempatan.

“Tempat ini sangat dekat dengan lapangan terbang namun saya terkejut kerana saya tidak pernah terfikir yang pesawat udara boleh terhempas di sini,” wanita berusia 82 tahun memberitahu penyiaran awam NHK.

Polis masih lagi menyiasat kemalangan itu yang disyaki atas kecuaian profesional yang mengakibatkan kematian, menurut laporan.

“Saya sudah lama tinggal di sini dan sudah biasa mendengar bunyi bising pesawat ringan, namun ia jelasnya sesuatu yang luar biasa,” kata ahli perniagaan berusia 32 tahun, Kotaro Sunaga memberitahu Jiji Press.

Lapangan terbang itu yang ditadbir oleh kerajaan Metropolitan Tokyo memiliki landasan kapal terbang sepanjang 800 meter, masih lagi ditutup berikutan kemalangan tersebut.

Agensi kaji cuaca mengatakan pada hari itu, cuaca jelas dan cerah dengan berangin sederhana berhampiran lapangan terbang, sementara NHK mengatakan pesawat itu lulus dalam pemeriksaan tahunan pada Mei.

ARTIKEL YANG SAMA