Pesawat terjunam ke dalam laut

Pesawat terjunam ke dalam laut

LUMUT, Malaysia, 15 Nov (Bernama) – Sebuah pesawat milik persendirian jenis Piper 32 terjunam ke dalam laut dan terbalik ketika ingin melakukan pendaratan cemas di atas laut kira-kira 100 meter dari Pantai Teluk Dalam, Kampung Tersusun, Pulau Pangkor hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata pesawat itu terpaksa membuat pendaratan cemas berikutan ekornya tersangkut pada pagar lapangan terbang untuk pelepasan dan pendaratan jarak dekat (STOL).

Beliau berkata pesawat itu milik Syarikat Ever Success Auto (Thailand) Ltd dipandu oleh juruterbang warga Singapura berserta seorang pembantu juruterbang warga tempatan berumur 76 tahun dengan membawa dua penumpang iaitu seorang wanita warga China berumur 27 tahun dan seorang lelaki warga Singapura berumur 51 tahun.

Kesemua mereka tidak mengalami kecederaan, katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Tengku Mohd Zailan berkata pesawat berkenaan berlepas dari lapangan terbang STOL itu menuju Subang pada pukul 1.20 tengah hari.

Sebuah pesawat persendirian menjunam ke dalam laut apabila cuba membuat pendaratan cemas. - Bernama
Sebuah pesawat persendirian menjunam ke dalam laut apabila cuba membuat pendaratan cemas. – Bernama

Ia terhempas kira-kira 300 meter dari tempat pelepasan.

“Pesawat itu tersangkut pada dawai pagar yang terletak 200 meter dari tempat berlepas sehingga menyebabkan bahagian ekornya patah.

“Juruterbang pesawat berkenaan yang menyedari perkara itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di atas laut kira-kira 100 meter dari pantai.

“Namun pesawat itu kemudiannya terjunam ke dalam laut dan terbalik mengakibatkan kesemua mangsa di dalam pesawat berkenaan terperangkap dalam air,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa yang sedang bercuti di Pulau Pangkor sejak petang semalam itu berjaya diselamatkan oleh beberapa penduduk tempatan yang melihat kejadian itu.

“Semua mangsa tidak mengalami kecederaan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bangkai pesawat berkenaan telah ditarik ke tepi pantai menggunakan jentera bomba selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA